Majlis Pemulihan Negara dibatalkan, teliti bubar GIACC

Anwar Ibrahim. - Foto Bernama
Anwar Ibrahim. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan status kedudukan Majlis Pemulihan Negara (MPN) dibatalkan.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat kerana terdapat pertindihan fungsi dan jawatan yang diletakkan untuk memenuhi keperluan ketika itu.

"Itu pun satu pertindihan juga jawatan yang diletakkan untuk mematuhi keperluan ketika itu," katanya ketika sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat kabinet di Bangunan Perdana Putra pada Rabu.

Pada 21 Julai 2021, kabinet yang diketuai oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada ketika itu bersetuju memutuskan untuk menubuhkan MPN menggantikan Jawatankuasa Khas Kabinet Pemulihan Negara.

Majlis itu dipengerusikan oleh bekas Perdana Menteri Ke-lapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin sejak 4 September tahun sama.

MPN bertindak untuk merangka strategi dan hala tuju Pelan Pemulihan Negara (PPN) untuk pertimbang menteri selepas negara dilanda pandemik Covid-19.

Dalam perkembangan sama Anwar berkata, kerajaan juga akan meneliti cadangan untuk membubarkan Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC).

Beliau berkata, ia selepas banyak fungsi GIACC itu didapati berlaku pertindihan antara agensi penguat kuasa iaitu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Artikel Berkaitan:

"Setiap pertindihan itu menanggung kos yang tinggi," katanya.

Menurutnya, penting prinsip agensi itu diterima, namun tidak boleh berlaku banyak pertindihan.

"Tugas Perdana Menteri pun banyak saya lepaskan dan dipertanggungjawabkan kepada Timbalan Perdana Menteri, tetapi kalau boleh digabungkan, ia gabungkan," katanya.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai spekulasi bahawa agensi yang ditubuhkan oleh Perdana Menteri Ketujuh, Tun Dr Mahathir Mohamad pada Jun 2018 itu akan dibubarkan.

GIACC diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri bagi menyelaras dan memantau semua aktiviti berkaitan tadbir urus, integriti dan anti-rasuah di negara ini.

Pusat itu juga bertanggungjawab dalam merancang, menggubal strategi dan menilai polisi bagi memastikan semua urusan kerajaan dilaksanakan berteraskan tadbir urus baik, integriti dan tiada toleransi kepada perbuatan rasuah.