Wanita curi gelang emas, bantu teman lelaki langsai hutang

No Image Caption
A
A
A

PORT DICKSON - Semata-mata mahu membantu melangsaikan hutang kereta milik teman lelaki, seorang wanita sanggup mencuri seutas gelang tangan emas di sebuah kedai emas di daerah ini pada 7 Disember lalu.

Bagaimanapun, kurang dari dua minggu, wanita berusia 22 tahun itu berjaya dicekup polis pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, dalam kejadian berkenaan, suspek bersama kekasihnya berpura-pura menjadi pelanggan sebelum melarikan barangan emas berkenaan.

"Polis terima laporan daripada pembantu juru jual kedai emas berusia 39 tahun yang memberitahu suspek dan teman lelakinya telah datang ke kedai pada jam 11.38 pagi.

"Mereka kemudian telah membawa lari seutas gelang tangan emas dianggarkan bernilai RM15,000 dengan menaiki sebuah kenderaan jenis Perodua Alza, nombor pendaftaran tidak pasti," katanya dalam kenyataan kepada media pada Selasa.

Menurutnya, bertindak atas maklumat itu, polis telah berjaya menahan suspek wanita di sebuah pangsapuri di Rawang Selangor pada Jumaat lalu dan suspek turut mengaku melakukan perbuatan terbabit.

Susulan itu, polis berjaya merampas semula barangan kemas berkenaan di sebuah kedai pajak gadai di Seremban.

"Suspek yang disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan telah pun dihukum penjara sehari dan denda RM7,000 selepas didakwa di mahkamah.

Artikel Berkaitan:

"Namun polis masih mengesan teman lelaki suspek yang turut terlibat dalam kes terbabit," katanya.

Tambah Aidi, individu yang mempunyai maklumat berkaitan suspek boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Sarjan Mohd Hazizi Abas di talian 019-3471916 / 06-6472344.