Banjir: Pindah bersama lapan ekor kucing

Anggota bomba membantu membawa Hanum dan kucing-kucingnya ke tempat selamat selepas rumahnya dinaiki air pada Selasa. -Foto Bomba
Anggota bomba membantu membawa Hanum dan kucing-kucingnya ke tempat selamat selepas rumahnya dinaiki air pada Selasa. -Foto Bomba
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Seorang kakitangan awam turut membawa lapan ekor kucing kesayangan berpindah ke tempat selamat selepas rumahnya di Kampung Buluh Gading, di sini dinaiki air.

Dia yang mahu dikenali sebagai Hanum, 30, berkata, haiwan manja dinamakan Toppok, Quatro, Bonnie, Skylar, Uno, Junior, Dos dan Tres itu tidak sanggup ditinggalkan di rumah kerana banjir.

Menurut Hanum, dia membela kucing-kucing tersebut sejak enam tahun lalu dan jarang dibiarkan bersendirian sekiranya bermalam di tempat lain.

“Namun begitu, saya mengambil keputusan menghantar lapan kucing ini ke hotel kucing berhampiran.

“Ini kerana untuk keselesaan dan supaya tidak mengganggu penghuni pusat pemindahan sementara (PPS) lain,” katanya ketika dihubungi di sini pada Selasa.

Wanita itu bersama ahli keluarga dan lapan ekor kucing berpindah ke tempat selamat dengan bantuan bot Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia kira-kira jam 10.45 pagi Selasa.

Kebanyakan mangsa dipindahkan ke PPS berhampiran selepas kawasan tersebut dinaiki air hingga mencecah 1.2 meter.

Jelas Hanum, ini pengalaman pertamanya berpindah bersama lima ahli keluarga lain termasuk seorang kakak yang merupakan orang kurang upaya (OKU) kategori masalah pembelajaran.

Artikel Berkaitan:

“Pada Februari lalu, air pernah naik juga tapi hanya setakat buku lali dan tidak memerlukan kami berpindah,” katanya.