[VIDEO] 'Kami hilang tiga permata sekali gus'

Mohd Nadzir (kiri) dan isteri terpaksa melawan perasaan sedih atas pemergian tiga anak mereka pada Isnin.
Mohd Nadzir (kiri) dan isteri terpaksa melawan perasaan sedih atas pemergian tiga anak mereka pada Isnin.
A
A
A

TUMPAT - "Kami hilang tiga 'permata' sekali gus," demikian luah Mohd Nadzir Mohamed, 67, bapa kepada tiga beradik yang menjadi mangsa renjatan elektrik di Kampung Morak di sini pada Selasa.

Mohd Nadzir tanpa berselindung mendedahkan dia dan isteri, Zainun Sulaiman, 62, terpaksa melawan perasaan sedih apabila masih lagi terngiang-ngiang suara tiga beradik itu yang rutin bertanyakan mengenai sarapan pagi untuk mereka setiap hari.

"Setiap pagi, ayat mereka kepada kami... ayah umi nak makan apa?" katanya sambil menahan sebak.

Ujar Mohd Nadzir, ketiga-tiga mangsa iaitu Nurul Syazwani Mohd Nadzir, 33, Sakinah, 29, serta Noor Fathiah, 27, merupakan anak perempuan yang mereka ada daripada lapan beradik, manakala lima lagi kesemua lelaki.

Menurut Mohd Nadzir, sebelum kejadian tersebut salah seorang anak, Nurul Syazwani ada menunjukkan perangai pelik kerana layanan dia kepada mereka terlebih manja daripada biasa.

Dia berkata, manakala Sakinah ada bergurau dengan isterinya memberitahu dia rasa seperti hendak mati.

"Tetapi kami anggap semua itu gurauan. Sehinggalah pada hari kejadian tersebut, saya melihat depan mata mayat anak-anak bergelimpangan, hendak angkat tidak boleh kerana ia melibatkan renjatan elektrik.

"Jadi saya dan isteri hanya mampu melihat sahaja, bayangkan sedihnya kami pada waktu itu hanya ALLAH sahaja yang tahu," katanya.

Mohd Nadzir memberitahu, bagaimanapun mereka reda dengan takdir tersebut walaupun sehingga sekarang masih belum percaya dengan apa yang berlaku.

Nurul Syazwani (kanan) Sakinah
Nurul Syazwani (kanan) Sakinah

Ujarnya, tiga beradik itu anak yang baik, solehah, senang dijaga dan mendengar kata.

Sebelum itu, Mohd Nadzir menerima kunjungan daripada Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun ke kediaman mereka.

Dalam kunjungan tersebut, Muhamad Zaki selain bertanyakan khabar turut menyampaikan sumbangan berbentuk wang tunai dan barangan dapur.

Pada Isnin, Sinar Harian melaporkan tiga beradik perempuan maut dipercayai terkena renjatan elektrik di sebuah rumah yang ditenggelami air di Kampung Morak.

Kejadian jam 12 tengah hari itu dikatakan berlaku ketika salah seorang daripada mereka tergelincir dan terpegang tiang pada garaj di sebuah rumah jiran.