'Hentikan intrik politik bawa perpecahan' - PM

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan peruntukan khas (Bajet Mini) sempena Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen ke-15 Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, pada Selasa. - Foto Bernama
Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan peruntukan khas (Bajet Mini) sempena Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen ke-15 Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengajak semua ahli Parlimen sama ada di pihak kerajaan dan juga pembangkang untuk segera menghentikan intrik politik yang boleh membawa ke kancah perpecahan.

Beliau berkata, adalah menjadi tanggungjawab semua wakil rakyat yang memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu untuk sama-sama memainkan peranan dalam memacu Malaysia ke arah yang lebih baik.

Pilihan raya umum (PRU) sudah berakhir. Kerajaan juga telah pun tertubuh. Sudah masanya dihentikan intrik politik yang hanya menempah kita ke kancah perpecahan.

“Kita manfaatkan gudang suara ini menelaah dan berbahas soal dasar dan kepentingan rakyat,” katanya ketika membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Kumpulan Wang Disatukan (Perbelanjaan Masuk Akaun) 2022 dan Usul Anggaran Perbelanjaan Pembangunan Sementara 2023 di Dewan Rakyat pada Selasa.

Sementara itu, dalam perkembangan sama, Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun turut memberi teguran kepada semua ahli Parlimen supaya menghormati Dewan Rakyat ketika berbahas.

Katanya, dewan mulia itu perlu dihormati dengan semua ahli Dewan Rakyat perlu menjaga tatasusila ketika berbahas.

Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen ke-15 yang membuka tirai pada Isnin kecoh seketika apabila ahli Parlimen blok kerajaan dan pembangkang bertikam lidah mengenai usul undi percaya terhadap Perdana Menteri.

Artikel Berkaitan: