Musk kalah tinjauan pendapat letak jawatan

TERJEMAHAN SINAR HARIAN

Elon Musk. - AFP
Elon Musk. - AFP
A
A
A

LOS ANGELES - Billionair Tesla, Elon Musk dilihat sudah bersedia meletak jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Twitter selepas beliau meminta pengikutnya mengundi dalam tinjauan pendapat baru-baru ini, lapor portal Mirror.

Musk melancarkan tinjauan pendapat selama 12 jam di laman akaun Twitter miliknya pada 11.20 malam Ahad (waktu tempatan) dengan bertanya 'Perlukah saya meletak jawatan sebagai ketua Twitter? Saya akan mematuhi keputusan tinjauan pendapat ini'.

Ciapan Musk bersama dengan pilihan 'Ya' dan 'Tidak'.

Bagaimanapun, undian tersebut mendapati Musk kalah dan sekali gus menyaksikan beliau berpotensi meletak jawatan sebagai CEO Twitter.

Menurut tinjauan itu, kira-kira 57 peratus daripada 17.5 juta pengundi menyatakan bahawa Musk harus meletakkan jawatan sebagai CEO Twitter manakala 43 peratus berkata beliau tidak perlu berbuat demikian sebelum undian ditutup.

Musk melancarkan tinjauan pendapat di Twitter pada malam Ahad selepas menyaksikan perlawanan bola sepak Piala Dunia antara Perancis dan Argentina di Qatar.

Namun, tidak dipastikan sama ada Musk akan akur dengan keputusan itu dan meletakkan jawatan menurut jalan dipilihnya.

Hujung minggu lalu, Musk menggugurkan tinjauan pendapat mengenai pemulangan semula semua akaun wartawan yang digantung sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

Selepas melancarkan tinjauan pendapatnya itu, Musk turut membuat ciapan bahawa orang ramai perlu berhati-hati dengan hajat mereka, namun beliau menafikan bahawa dia sudah pun memilih penggantinya. - Agensi