'Tak sampai lima minit rumah roboh depan mata'

Keadaan rumah didiami Mariam selepas dipukul ribut dalam kejadian pada petang Ahad. - Foto Facebook Satiful Bahri
Keadaan rumah didiami Mariam selepas dipukul ribut dalam kejadian pada petang Ahad. - Foto Facebook Satiful Bahri
A
A
A

DUNGUN - Seorang wanita bersama tiga ahli keluarga sempat menyelamatkan diri sebelum rumah didiami sejak 21 tahun lalu di Kampung Pantai Laut, Paka di sini roboh sekelip mata akibat dipukul ribut.

Mangsa, Mariam Abdullah, 57, berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 4 petang pada Ahad itu menyebabkan hampir keseluruhan struktur rumah runtuh dan sudah tidak boleh diduduki.

Katanya, sebahagian kecil rumah tersebut telah rosak akibat kejadian sama pada minggu lalu, namun kali ini berlaku kerosakan lebih teruk serta banyak barangan di dalam rumah tidak dapat diselamatkan.

"Ketika kejadian saya dan dua anak berada dalam rumah manakala adik saya duduk di luar rumah. Waktu itu hujan lebat dan angin kencang.

"Tiba-tiba saya terdengar bunyi seolah-olah dahan pokok patah. Saya berasa tidak sedap hati lalu segera menjerit mengajak anak saya keluar rumah.

"Tak sampai lima minit rumah runtuh depan mata. Mujurlah kami semua sempat keluar kalau tak saya tak dapat bayangkan apa akan berlaku," beritahu Mariam.

Ibu kepada empat anak itu berkata, dia bersyukur kerana ketika kejadian suaminya, Ismail Md Jusoh, 62, yang mengalami strok tiada di rumah.

"Suami saya mengalami strok dan beberapa komplikasi penyakit lain. Saya tak dapat bayangkan kalaulah dia ada di rumah ketika itu, mungkin akan mengambil sedikit masa untuk keluar menyelamatkan diri.

Artikel Berkaitan:

"Sekarang saya dan keluarga menumpang di rumah anak sulung di Kampung Cacar Baru, Paka buat sementara waktu," katanya.

Mariam memberitahu turut buntu memikirkan tempat tinggal kerana rumah didiami itu hanyalah rumah tumpangan setelah tuan rumah memberi kebenaran duduk secara percuma.

"Rumah itu sudah lama dan agak uzur. Tuan rumah juga pernah memberitahu untuk robohkan rumah itu sejak lima tahun lalu.

"Disebabkan saya tidak mampu menyewa rumah lain, saya kekal bertahan di rumah itu," katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka, Datuk Satiful Bahri Mamat mengingatkan supaya semua pihak peka terhadap aspek keselamatan sepanjang tempoh Monsun Timur Laut ini.

Katanya, rumah yang berada di kawasan berisiko seperti berdekatan pokok yang berisiko tumbang perlu dimaklumkan kepada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) masing-masing untuk tindakan lanjut.