Kedudukan kerusi ahli Parlimen kerajaan di Dewan Rakyat

Senarai kedudukan ahli Parlimen Kerajaan yang dikongsikan Ahmad Maslan di Facebooknya pada Ahad.
Senarai kedudukan ahli Parlimen Kerajaan yang dikongsikan Ahmad Maslan di Facebooknya pada Ahad.
A
A
A

SHAH ALAM - Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkongsikan kedudukan sebahagian ahli Parlimen kerajaan di Dewan Rakyat yang bakal mula bersidang buat pertama kali pada Isnin selepas pelaksanaan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Senarai dikongsikan beliau yang juga Timbalan Menteri Kewangan menerusi hantaran di Facebooknya pada Ahad itu membabitkan 36 ahli Parlimen kerajaan yang terdiri daripada kesemua parti bekerjasama membentuk kerajaan.

Berada di kedudukan pertama di barisan kanan Dewan Rakyat merupakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan di sebelahnya ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan diikuti Datuk Seri Fadilah Yusof yang juga memegang jawatan sama.

Turut berada sebaris di bahagian hadapan ialah Menteri Pengangkutan, Anthony Loke; Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu; Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.

Dua orang lagi ahli Parlimen kerajaan yang berada di barisan hadapan ialah Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Sementara itu, berada barisan kedua di belakang Anwar bermula dari kedudukan pertama antaranya ialah Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Berada di barisan sama ialah Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Menteri Sains dan Teknologi, Chang Lih Kang dan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Barisan ketiga di belakang Anwar pula terdiri antaranya daripada Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Datuk Seri Azalina Othman Said; Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek; Menteri Komunikasi dan Digital (KKD), Fahmi Fadzil dan Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa.

Artikel Berkaitan:

Barisan keempat dari hadapan pula terdiri daripada Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing; Ahmad Maslan dan Timbalan Menteri Kewangan, Steven Sim.

Kerajaan pimpinan Anwar terdiri daripada kerjasama beberapa parti antaranya Pakatan Harapan, BN, Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Parti Warisan (Warisan).