‘Esok hari Ahli Dewan Rakyat mengundi di Parlimen’

Mohd Syahir Che Sulaiman
Mohd Syahir Che Sulaiman
A
A
A

SHAH ALAM - Menjelang Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen ke-15 yang akan membuka tirainya pada Isnin, Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman tampil memperincikan Aturan Urusan Mesyuarat Dewan Rakyat.

Menerusi catatan di Facebooknya, Mohd Syahir yang juga Setiausaha Politik kepada Presiden Pas itu berkata, selepas genap sebulan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan, ahli Parlimen sekali lagi akan ‘mengundi’ di Dewan Rakyat.

Jelasnya, merujuk kepada notis dan aturan mesyuarat, selepas dibuka dengan bacaan doa dan proklamasi, agenda yang perlu didahulukan adalah untuk memilih Speaker Dewan Rakyat dan untuk itu Ahli Parlimen akan mengundi.

Seterusnya, ahli-ahli Dewan Rakyat akan mengangkat sumpah, disusuli pemilihan Timbalan Speaker juga melalui proses undian.

Selesai proses melantik Speaker dan Timbalan Speaker, akan dicadangkan usul undi percaya terhadap Perdana Menteri. Sekali lagi Ahli Parlimen akan mengundi.

“Seterusnya akan dibentangkan 'belanjawan sementara' dan usul-usul berkaitan. Sekali lagi Ahli Parlimen akan mengundi. Itulah yang akan berlaku di Parlimen pada 19 dan20 Disember ini,” katanya pada Ahad.

Tambahnya, segala keputusan untuk usul yang memerlukan undian pada Isnin itu akan ditentukan oleh semua ahli Dewan Rakyat.

“Apakah yang akan terjadi? Terpulang kepada kebijaksanaan sekalian Ahli Parlimen untuk mengundi. Doakan yang terbaik untuk Malaysia,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Selepas melalui pelbagai episod dalam arena politik negara, Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen ke-15 yang membuka tirainya pada Isnin pastinya antara perkara yang amat ditunggu-tunggu banyak pihak.

Mesyuarat pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) itu juga melakar sejarah buat negara apabila menjadi persidangan pertama di bawah Kerajaan Perpaduan yang melibatkan lima gabungan politik utama di Malaysia.

Pembentangan usul undi percaya bagi keabsahan pelantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10 antara agenda utama yang menjadi perhatian pada mesyuarat yang berlangsung selama dua hari itu.