Tercalon Speaker Parlimen, Johari letak jawatan ADUN Gurun

Persidangan pertama Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat ke-15 pada 19 Disember ini bakal menyaksikan pelantikan Speaker Parlimen dan dua Timbalan Speaker baharu. (Gambar kecil: Johari Abdul)
Persidangan pertama Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat ke-15 pada 19 Disember ini bakal menyaksikan pelantikan Speaker Parlimen dan dua Timbalan Speaker baharu. (Gambar kecil: Johari Abdul)
A
A
A

SHAH ALAM - Spekulasi pencalonan bekas Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul sebagai Speaker Parlimen semakin menjadi realiti apabila beliau mengumumkan peletakan jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gurun di Kedah pada Ahad.

Dalam satu kenyataan menerusi kiriman video Whatsapp, Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah itu mengesahkan beliau telah mengutuskan sepucuk surat kepada Speaker DUN Kedah, Datuk Juhari Bulat bagi tujuan itu dengan ia telah sah diterima bertarikh 13 Disember 2022.

Jelas bekas Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kedah itu, inti pati surat itu menjelaskan beliau memaklumkan kepada Speaker DUN Kedah bahawa kerusi DUN Gurun disandangnya sebelum ini dikosongkan berkuat kuasa secara serta-merta pada tarikh surat dihantar.

"Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Datuk Speaker yang telah memberi ruang kepada saya untuk mengambil bahagian secara aktif dalam DUN Kedah.

"Saya juga ingin mengucapkan terima kasih tidak terhingga kepada seluruh rakyat Gurun dan pengundi-pengundi saya di sana.

"Tuan-tuan dan puan-puan telah pun memberikan kerjasama dan kepercayaan luar biasa terhadap saya dalam menjalankan tugasan sebagai ADUN Gurun. Insya-ALLAH kita akan berjumpa lagi dan saya yakin hubungan baik kita akan berkekalan dalam membangunkan negeri Kedah," kata beliau dalam satu kenyataan video yang dikirimkan melalui aplikasi Whatsapp kepada Sinar Harian pada Ahad.

Sebelum ini, nama Johari disebut-sebut antara calon bagi jawatan Speaker Parlimen yang mengadakan sidang majlis mesyuarat penggal pertama pertama persidangan Dewan Rakyat pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 November ini.

Selain nama Johari yang mewakili blok kerajaan, nama bekas Ahli Parlimen Kangar, Tan Sri Mohd Radzi Sheikh Ahmad difahamkan turut dicalonkan blok pembangkang diketuai Perikatan Nasional (PN) bagi jawatan itu.

Artikel Berkaitan:

Berdasarkan Aturan Urusan Mesyuarat Dewan Rakyat, usul undi percaya terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diletakkan sebagai urusan persidangan paling utama, diikuti Speaker atau Yang Dipertua Dewan Rakyat baharu.

Aturan mesyuarat seterusnya diikuti upacara angkat sumpah ahli-ahli Parlimen yang menang PRU15 diikuti pemilihan dua Timbalan Speaker Parlimen.

Pada 2 Disember, media melaporkan, Tan Sri Azhar Azizan Harun mengesahkan akan mengosongkan kedudukannya sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat sebelum Parlimen bersidang.

Bagi jawatan Timbalan Speaker Parlimen, Ahli Parlimen Lanang daripada DAP, Alice Lau dan Ahli Parlimen Cameron Highlands, Ramli Md Nor daripada Barisan Nasional (BN) dilapor dicalonkan bagi blok kerajaan.

PN pula dilaporkan mencalonkan bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Mas Ermieyati Samsudin bagi jawatan Timbalan Speaker Parlimen.

Sementara itu, sumber Pejabat Parlimen memaklumkan seseorang ahli politik yang tercalon bagi jawatan Speaker Parlimen harus melepaskan jawatannya sebagai wakil rakyat di peringkat DUN negeri bagi mengelakkan pertindihan tugasan.