Pengusaha kantin sekolah rayu sambung moratorium sewa

Terlalu banyak cuti sekolah, cuti umum yang menjejaskan produktiviti perniagaan sekali gus memberi impak kepada kewangan pengusaha kantin. (Gambar kecil: Khairudin)
Terlalu banyak cuti sekolah, cuti umum yang menjejaskan produktiviti perniagaan sekali gus memberi impak kepada kewangan pengusaha kantin. (Gambar kecil: Khairudin)
A
A
A

SHAH ALAM - Persatuan Pengusaha Kantin Sekolah Malaysia (PPKSM) merayu agar kerajaan menyambung moratorium penyewaan kantin kerana jumlah hari yang kantin dapat beroperasi sangat tidak produktif.

Presiden PPKSM, Khairuddin Hamzah berkata, terlalu banyak cuti sekolah, cuti umum dan cuti hujung minggu yang menjejaskan produktiviti perniagaan sekali gus memberi impak kepada kewangan pengusaha kantin.

Menurutnya, pada bulan Januari mungkin hanya 16 hari kantin beroperasi kerana terdapat cuti tahun baharu dan cuti perayaan Tahun Baru Cina manakala hanya 12 hari kantin dibuka pada bulan Februari.

"Bulan Mac pula sekolah bermula 21 hari bulan tetapi bertembung pula dengan Ramadan yang akan bermula 23 Mac. Ini bermakna kami hanya dapat beroperasi selama dua hari sahaja.

"Sekiranya tiada cuti tambahan diberikan sempena Hari Raya pada April, dapatlah kami beroperasi selama lima hari," jelasnya.

Sementara itu, Khairudin memberitahu, pada Mei dan Jun masing-masing mencatat jumlah persekolahan sebanyak 16 dan 17 hari.

"Dengan jumlah cuti yang banyak ini, pihak pengurusan kantin sudah pasti menghadapi masalah untuk membayar sewa kantin, bil utiliti, gaji pekerja dan lain lain.

"Pihak kami bimbang sekiranya senario pengusaha kantin gulung tikar akan berulang lagi," jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Khairudin berharap Kementerian Pendidikan Malaysia dan Kementerian Kewangan dapat memberi perhatian yang serius bagi mengurangkan beban serta membantu kelangsungan perkhidmatan kantin sekolah yang baik.

"PPKSM berpendapat amat wajar sekiranya kerajaan memberi moratorium sewa kantin kepada semua pengusaha kantin sekolah," ujarnya.