Tun M kekal ahli Pejuang, perjuangan parti diteruskan: Mukhriz

Mukhriz
Mukhriz
A
A
A

ALOR SETAR - [DIKEMAS KINI] Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) menerima keputusan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk berundur daripada jawatan Pengerusi parti itu.

Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, walaupun Dr Mahathir telah berundur sebagai Pengerusi Pejuang, namun beliau masih kekal sebagai ahli parti berkenaan.

Menurutnya, seluruh ahli Pejuang termasuk penyokong mahu negarawan itu terus memberi pandangan membina dan kritis terhadap masa depan negara.

“Sebagai seorang negarawan unggul, kami percaya beliau akan terus memberikan pandangan bernas untuk negara tercinta, itulah yang diharapkan oleh semua penyokong.

“Semoga Malaysia terus aman makmur dan sejahtera hasil legasi Dr Mahathir,” katanya dalam kenyataan akhbar di sini pada Sabtu.

Mukhriz tegaskan, walaupun tanpa kehadiran Dr Mahathir, sudah semestinya perjuangan, legasi dan semangat bekas Ahli Parlimen Langkawi itu akan diteruskan oleh Pejuang.

“Kami akan teruskan perjuangan beliau demi agama, bangsa dan tanah air.

"Pejuang akan memastikan daya pemikiran, cara kepimpinan dan tumpuan kepada keberhasilan beliau yang berteraskan prinsip dan nilai budaya murni diteladani oleh generasi pewaris perjuangan beliau,” ujarnya.

Menurutnya lagi, seluruh anggota Majlis Eksekutif Pusat dan ahli parti seluruh negara menyanjung tinggi terhadap jasa, pemikiran, tunjuk ajar dan kepimpinan Dr Mahathir sepanjang memegang jawatan tersebut.

“Dengan penuh tawaduk Pejuang terima keputusan Dr Mahathir untuk berundur.

"Kami ucapkan penghargaan yang tidak terhingga kepada Ayahanda Dr Mahathir. Hanya ALLAH SWT yang boleh membalas jasa beliau kepada kami,” katanya lagi.

Artikel Berkaitan:

Pada Jumaat, Dr Mahathir dilaporkan meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Pejuang, namun sumber parti berkenaan menegaskan bekas Perdana Menteri itu kekal sebagai Pengerusi Gerakan Tanah Air (GTA).

Sumber memaklumkan, satu pengumuman rasmi akan dibuat oleh Dr Mahathir kemudian.

Difahamkan, Perhimpunan Agung Tahunan (AGM) Pejuang kedua akan diadakan pada 14 Januari depan.

Dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi Parlimen Langkawi, Dr Mahathir gagal mempertahankan kerusi dimenangi apabila tewas kepada calon Perikatan Nasional (PN), Mohd Suhaimi Abdullah yang memperoleh majoriti 13,518 undi.

Parlimen berkenaan turut direbut oleh calon Barisan Nasional (BN), Datuk Armishah Siraj selain Zabidi Yahya (Pakatan Harapan) dan Abd Kadir Sainudin (Bebas).