Arca burung daripada barang terbuang jadi tarikan

Arca berbentuk burung projek 'Waste To Art' dilekatkan di dinding bangunan kedai di Kuantan Art Street.
Arca berbentuk burung projek 'Waste To Art' dilekatkan di dinding bangunan kedai di Kuantan Art Street.
A
A
A

KUANTAN - Arca berbentuk burung yang dihasilkan menggunakan barang terbuang menjadi tarikan baharu pengunjung di Kuantan Art Street di sini.

Arca yang dihasilkan melalui projek Waste to Art 2022 itu direalisasikan melalui usahasama di antara Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Pahang, Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Timbalan Pengarah (Pengurusan) SWCorp Pahang, Hajidah Md Noh berkata, kaedah penghasilan 'Waste To Art' itu menggunakan barangan terpakai yang dilekat dan dicantumkan membentuk imej tiga dimensi (3D) atau arca.

Menurutnya, arca berbentuk burung dan kuda yang dilekatkan di dinding bangunan kedai di Jalan Besar di sini dibina mengikut spesifikasi dan mengutamakan ciri-ciri keselamatan.

"SWCorp Pahang telah bekerjasama dengan UiTM yang memiliki kepakaran dan pengalaman luas berkaitan teknik penghasilan arca ini.

"Penglibatan UiTM secara eksklusif ini melibatkan khidmat rundingan, nasihat, aspek teknikal dan tenaga kepakaran seterusnya memberi nilai tambah estetika seni terhadap arca yang dihasilkan ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika hadir mewakili Pengarah SWCorp Pahang, Sharudin Hamid pada Majlis Pra Penyerahan Projek 'Waste To Art' 2022 di Kuantan Art Street di sini pada Sabtu.

Majlis disempurnakan Pengarah Pembendaharaan MBK, Mohd Nizam Mahayuddin mewakili Datuk Bandar Kuantan Datuk Hamdan Hussin.

Artikel Berkaitan:

Hajidah berkata, SWCorp Pahang menghargai kerjasama MBK kerana membenarkan bangunan lama yang berada di sekitar laluan Kuantan Street Art digunakan sebagai lokasi penghasilan karya 'Waste To Art' itu.

"Usaha ini seiring dengan hasrat MBK sendiri untuk menarik kedatangan pelancong ke daerah ini melalui pelbagai inisiatif antaranya, menceriakan lorong belakang deretan bangunan lama yang berada di Jalan Mahkota dan Jalan Besar melalui penghasilan Kuantan Art Street itu sendiri," katanya lagi.

Tambah beliau, nilai seni dan estetika pada arca itu bersesuaian dengan objektif pelaksanaan projek 'Waste To Art' supaya masyarakat akan lebih cakna untuk menilai barang buangan juga mampu menjana pendapatan melalui amalan 3R (kurangkan, guna semula dan kitar semula).

Hajidah berkata, sempena majlis itu, turut diadakan program tinjauan mesra bersama peniaga bagi mempromosikan kempen amalan kebersihan menerusi penyerahan plak kepada pemilik premis.

"Turut diadakan acara 'plogging' secara santai sebagai usaha untuk menyemarakkan budaya kebersihan dan sayangi Bandar Kuantan dalam kalangan pengunjung dan masyarakat setempat.

"Sebagai pelengkap majlis, sesi penyerahan tong 'Bin Ganjaran Kitar Semula' oleh

Alam Flora Kuantan kepada MBK yang akan diedarkan di lima lokasi terpilih sekitar Bandaraya Kuantan," ujarnya.

Menurutnya, objektif edaran tong itu untuk menggalakkan amalan pengasingan sisa dalam kalangan masyarakat melalui pemberian insentif kepada individu yang mengamalkan budaya pengasingan sisa yang boleh dikitar semula.