Sanggup tinggal di kawasan berlumpur, penuh besi elak dikesan

A
A
A

DENGKIL - Sanggup menetap di kawasan berlumpur selain dipenuhi serpihan besi pembinaan. Itu taktik pendatang asing tanpa izin (PATI) untuk menyukarkan tindakan pihak berkuasa.

Bagaimanapun, penempatan haram warga asing di kawasan tapak pembinaan itu di sini berjaya digempur Jabatan Imigresen Malaysia dengan kerjasama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), pada Jumaat.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, operasi bersepadu pada jam 1.30 pagi itu berjaya menahan 48 PATI termasuk enam wanita berusia lingkungan 18 hingga 53 tahun.

Menurutnya, PATI yang ditahan terdiri daripada 30 warga Indonesia, Bangladesh (12), Myanmar (5) dan seorang Vietnam.

"Penempatan ini berada di kawasan permukaan bumi yang tidak rata serta berlumpur ditambah dengan besi serpihan pembinaan dan mendatangkan risiko kecederaan yang tinggi kepada semua pegawai yang terlibat.

"Kesemua mereka dipercayai tinggal di penempatan tersebut bagi mengelak daripada dikesan pihak berkuasa," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, semasa serbuan dilakukan, terdapat cubaan beberapa PATI yang ingin meloloskan diri daripada ditahan pegawai imigresen.

Katanya, seorang PATI dilaporkan cedera di bahagian lutut dan kaki akibat terkena besi tajam selepas cuba melarikan diri.

Artikel Berkaitan:

"Antara kesalahan PATI yang dikenal pasti ialah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

"Kesemua tahanan ini akan ditempatkan di Depot Imigresen Lenggeng, Negeri Sembilan untuk tujuan siasatan dan tindakan lanjut," tegasnya.

Antara PATI yang ditahan dalam serbuan di penempatan haram di kawasan pembinaan di Dengkil, Selangor pada Jumaat.