Ringgit dijangka diniagakan rendah minggu depan

No Image Caption
A
A
A

RINGGIT dijangka diniagakan rendah berbanding dolar AS antara paras 4.42 dan 4.44 pada minggu depan, kata seorang penganalisis.

Pengarah Urusan SPI Asset Management, Stephen Innes berkata, memandangkan jangkaan kenaikan kadar oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) dan European Central Bank (ECB) pada minggu yang baru berakhir ini, dagangan unit tempatan dijangkakan goyah minggu depan.

"Bagi ringgit, yang sentimennya dipengaruhi harapan kenaikan kadar oleh Fed dihentikan seketika pada 2023, langkah itu boleh memberi kesan negatif, memandangkan ketidakpastian berhubung pembukaan semula China ekoran lonjakan kes COVID-19 di negara tersebut,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Kenanga Research, menerusi laporan Ringgit Weekly Outlook berkata, Indeks Dolar AS mungkin terus tertekan di bawah paras 105.0 berikutan bacaan jualan runcit Amerika Syarikat (AS) yang lebih lemah daripada jangkaan dan jangkaan ECB menaikkan lagi kadar.

"Di dalam negara, bacaan perdagangan yang lebih kukuh mungkin juga membantu menyediakan sokongan kepada unit tempatan,” katanya.

Bagaimanapun, firma penyelidikan itu berkata, ringgit mungkin terus diniagakan di atas paras 4.40 berikutan keadaan tidak menentu yang terus meningkat.

"Memandangkan kecenderungan jangka pendek bagi ringgit-dolar AS kekal neutral, ia diunjur diniagakan dalam jajaran 4.396-4.432 minggu depan," said Kenanga Research.

Unit tempatan juga dipengaruhi oleh bacaan Indeks Pengeluaran Perindustrian Oktober yang lemah daripada jangkaan selepas mencatatkan pertumbuhan dua angka bagi empat bulan berturut-turut.

Artikel Berkaitan:

Bagi asas minggu ke minggu, ringgit susut berbanding dolar AS kepada 4.4220/4265 pada Jumaat daripada paras 4.4010/4080 pada minggu sebelumnya.

Bagaimanapun, unit tempatan diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding kumpulan mata wang utama lain.

Ringgit mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.3705/3760 daripada 5.3908/3994 pada Jumaat minggu sebelumnya, naik sedikit berbanding dolar Singapura kepada 3.2531/2569 daripada 3.2545/2601 dan meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.2230/2265 daripada 3.2315/2369.

Namun, ringgit jatuh berbanding euro kepada 4.6926/6974 daripada paras 4.6466/6540. - Bernama