Ringgit dijangka diniagakan secara berhati-hati minggu depan

Mata wang tempatan dijangka didagangkan dalam julat yang ketat di antara 4.65 dan 4.67 berbanding dolar AS, dipacu oleh pengeluaran data ekonomi global. - Gambar hiasan
Mata wang tempatan dijangka didagangkan dalam julat yang ketat di antara 4.65 dan 4.67 berbanding dolar AS, dipacu oleh pengeluaran data ekonomi global. - Gambar hiasan
A
A
A

RINGGIT dijangka terus diniagakan secara berhati-hati minggu depan kerana pelabur kekal bimbang dengan prospek ekonomi global.

Pengarah Urusan SPI Asset Management, Stephen Innes memberitahu Bernama, mata wang tempatan dijangka didagangkan dalam julat yang ketat di antara 4.65 dan 4.67 berbanding dolar AS, dipacu oleh pengeluaran data ekonomi global.

"Kebanyakan paras harga minggu depan akan bergantung kepada data ekonomi global, termasuk data inflasi dari China, yang boleh menyebabkan ringgit diniagakan secara berhati-hati,” katanya.

Sementara itu, Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) pada Khamis mengumumkan keputusan untuk mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada 3.00 peratus.

Bank pusat itu berkata, ekonomi Malaysia terus berkembang apabila data pendapatan dan pekerjaan kekal menggalakkan dan akan terus menyokong perbelanjaan isi rumah.

Sehubungan itu, Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, ringgit dijangka terus berlegar sekitar 4.66 berbanding dolar AS minggu depan.

Pada asas Jumaat ke Jumaat, ringgit diniagakan rendah sedikit berbanding dolar AS kepada 4.6655/6675 daripada 4.6635/6705 pada minggu sebelumnya.

Unit tempatan itu didagangkan lebih rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia jatuh berbanding yen Jepun kepada 3.2601/2617 daripada 3.2220/2273 pada Jumaat sebelumnya, susut berbanding pound Britain kepada 5.9466/9492 daripada 5.8923/9012 dan turun berbanding euro kepada 5.0765/0787 berbanding 5.0571/0647 sebelum ini.

Ringgit juga diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang rakan ASEAN.

Ia mengukuh berbanding rupiah Indonesia kepada 308.0/308.3 daripada 309.5/310.1 sebelumnya dan meningkat berbanding peso Filipina kepada 8.39/8.39 berbanding 8.44/8.46 pada Jumaat lepas.

Bagaimanapun, unit tempatan itu diniagakan rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.4511/4528 daripada 3.4376/4431 seminggu sebelumnya dan susut berbanding baht Thailand kepada 13.2471/2588 daripada 13.1529/1786. - Bernama