Perbadanan multinasional akan dikenakan surcaj 20 sen/kwj

Pengguna elektrik bervoltan sederhana dan tinggi dalam kalangan industri termasuk MNC akan dikenakan surcaj pada kadar 20 sen/kWj berkuat kuasa 1 Januari hingga 30 Jun 2023. (Gambar kecil: Nik Nazmi)
Pengguna elektrik bervoltan sederhana dan tinggi dalam kalangan industri termasuk MNC akan dikenakan surcaj pada kadar 20 sen/kWj berkuat kuasa 1 Januari hingga 30 Jun 2023. (Gambar kecil: Nik Nazmi)
A
A
A
PUTRAJAYA - Pengguna elektrik bervoltan sederhana dan tinggi dalam kalangan industri termasuk perbadanan multinasional (MNC) akan dikenakan surcaj pada kadar 20 sen/kWj berkuat kuasa 1 Januari hingga 30 Jun 2023.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, ini bermakna kerajaan masih lagi menampung subsidi sebanyak RM1.93 bilion agar peningkatan surcaj ini tidak dilepaskan keseluruhannya secara mendadak.

"Secara keseluruhannya, kerajaan akan memperuntukkan sejumlah RM10.76 bilion subsidi bagi memastikan perkara ini dapat dilaksanakan,” katanya pada sidang media berkenaan pelarasan tarif elektrik di Semenanjung bagi tempoh 1 Januari hingga 30 Jun 2023.

Nik Nazmi berkata, kos subsidi yang sepatutnya diberikan oleh kerajaan untuk mengekalkan tarif elektrik sedia ada adalah sebanyak RM14.91 bilion.

"Namun, dengan pelaksanaan subsidi secara bersasar begini, peruntukan tambahan berjumlah RM4.16 bilion yang sepatutnya dikeluarkan oleh kerajaan untuk menampung subsidi elektrik ini dapat dibelanjakan untuk tujuan bantuan kepada rakyat dalam bentuk yang lain,” katanya.



Sementara itu, katanya, pengguna bukan domestik dalam kategori tarif voltan rendah yang terdiri daripada perniagaan mikro, kecil dan sederhana termasuk restoran, kedai runcit, bakeri dan bengkel kecil tidak akan mengalami sebarang kenaikan tarif elektrik.

"Dalam hal ini, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM8.74 bilion subsidi kepada kategori pengguna ini,” katanya.

Menurutnya, bagi memastikan harga barangan makanan dan produk pertanian tidak mengalami sebarang kenaikan, pengguna seperti petani, penternak dan pekebun yang termasuk dalam kategori pertanian spesifik turut tidak akan mengalami kenaikan tarif elektrik dengan peruntukan subsidi tambahan sebanyak RM90 juta kepada kategori pengguna ini.

"Justeru, lebih sembilan juta pengguna elektrik yang melebihi 90 peratus daripada keseluruhan pengguna di Semenanjung Malaysia tidak akan terkesan dengan kenaikan kos bahan api untuk penjanaan elektrik,” katanya.

Beliau berkata, krisis tenaga di peringkat global telah menyebabkan peningkatan mendadak kos penjanaan elekrik dan pelarasan tarif elektrik melalui mekanisme Pelepasan Imbangan Kos Penjanaan (ICPT) berada pada kadar yang sangat tinggi sebanyak RM7 bilion bagi tempoh Januari hingga Jun 2022 dan RM16.16 bilion bagi tempoh Julai hingga Disember 2022.
Artikel Berkaitan:


"Berdasarkan kepada kos penjanaan yang sangat tinggi ini, semua pengguna elektrik di Semenanjung sepatutnya dikenakan surcaj sebanyak 27 sen/kWj bagi tempoh 1 Januari hingga 30 Jun 2023 yang akan menyebabkan peningkatan kos sara hidup sekiranya dilepaskan kepada pengguna sepenuhnya,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan perlu menyediakan peruntukan yang sangat besar dan membebankan sekiranya keseluruhan kos ICPT ditampung melalui subsidi.

"Kerajaan mengiktiraf dan menghargai peranan yang dimainkan oleh syarikat multinasional dan perniagaan bersaiz besar dalam pembangunan ekonomi dan pemulihan negara.

"Dalam masa yang sama, kami mempercayai kebolehan negara untuk berganjak daripada persaingan kos rendah kepada persaingan nilai tambahan,” kata Nik Nazmi.

Justeru, katanya, kerajaan yakin pendekatan ini bersesuaian dengan keadaan ekonomi pada hari ini selain komited dengan perancangan peralihan kepada penggunaan tenaga mampan sambil mengimbangi sekuriti tenaga, kebolehcapaian tenaga serta kelestarian alam sekitar. - Bernama