DUN Perak tidak terima usul undi percaya

Mohammad Zahid menunjukkan buku Perintah-perintah Tetap Dewan Negeri Perak Darul Ridzuan dalam sidang akhbar pada Jumaat.
Mohammad Zahid menunjukkan buku Perintah-perintah Tetap Dewan Negeri Perak Darul Ridzuan dalam sidang akhbar pada Jumaat.
A
A
A

IPOH - Tiada usul undi percaya terhadap Menteri Besar dalam Aturan Urusan Mesyuarat Dewan Negeri Perak yang akan bersidang minggu hadapan.

Speaker Dewan Negeri, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima usul berkaitan dibentangkan dalam Sidang Dewan yang dijadualkan pada 19 hingga 29 Disember ini.

"Tiada undi percaya atau tidak percaya dalam sidang DUN kali ini. Di Parlimen mungkin sedikit berbeza tetapi di Dewan Negeri tidak ada.

"Jika tanya saya sebagai speaker, tidak perlu ada pun (undi percaya) terutama selepas pilihan raya.

"Kecuali ada pertukaran Menteri Besar dalam tempoh itu, baharu boleh bawa usul undi percaya dalam Dewan untuk mengukuhkan kedudukan Menteri Besar itu sendiri," katanya dalam sidang akhbar di Bangunan Perak Darul Ridzuan pada Jumaat.

Hadir sama, Setiausaha Dewan Negeri, Muhammad Nazri Abdullah.

Mohammad Zahir berkata, Mesyuarat Pertama pada Isnin akan berlangsungnya pemilihan Yang Dipertua dan timbalan Yang DiPertua Dewan Negeri disusuli angkat sumpah Ahli Dewan Negeri.

Katanya, pada Mesyuarat Kedua pula, Istiadat Pembukaan Rasmi Sidang Dewan disempurnakan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang akan menzahirkan Titah Diraja.

Artikel Berkaitan:

"Terdapat dua Rang Undang-undang Kerajaan akan dibawa iaitu Enakmen Perbekalan 2023 bagi Bajet Negeri dan Enakmen Undang-undang Tubuh Kerajaan Perak berkaitan anti lompar parti.

"Sebanyak lapan usul akan dibentangkan sepanjang persidangan antaranya usul melantik keanggotaan Ahli Jawatankuasa Kira-kira Wang Negeri, lantikan keangggotaan Ahli Jawatankuasa Perintah-perintah Tetap dan keanggotaan Ahli Jawatankuasa Hak dan Kebebasan," jelasnya.

Beliau berkata, Persidangan kali ini bakal menyaksikan satu suasana baharu dengan 35 muka baharu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada keseluruhan 59 wakil rakyat.

Ujarnya, ADUN Chenderoh, Syed Lukman Hakim Syed Mohd Zin yang berusia 25 tahun menjadi wakil rakyat termuda manakala ADUN Kota Tampan, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Kepayang, Nga Kor Ming sebagai wakil rakyat paling lama selama lima penggal.

Sementara itu, Muhammad Nazri berkata, pemilihan bagi jawatan Yang Dipertua dan Timbalan Yang DiPertua Dewan Negeri masing-masing hanya menerima satu pencalonan.

"Speaker sedia ada iaitu Datuk Muhammad Zahir dicalonkan sebagai Yang Dipertua Negeri sementara ADUN Canning, Jenny Choy Tsi Jen bagi pemilihan Timbalan Yang DiPertua Dewan," ujarnya.