[VIDEO] Sarjan dituduh terima rasuah RM2,000

Norhazarel Anuar (tengah) diiring anggota SPRM di Mahkamah Sesyen Seremban.
Norhazarel Anuar (tengah) diiring anggota SPRM di Mahkamah Sesyen Seremban.
A
A
A

SEREMBAN - Seorang anggota polis berpangkat Sarjan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat atas pertuduhan menerima rasuah daripada suspek yang sedang disiasatnya dua tahun lalu.

Tertuduh, Norhazarel Anuar Hamidon, 36, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Norshila Kamaruddin selepas kertas pertuduhan dibacakan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai Sarjan telah bersetuju menerima wang untuk dirinya sebanyak RM2,000 tanpa balasan daripada seorang lelaki yang mana tertuduh tahu lelaki itu dan rakannya merupakan suspek dalam kes yang sedang disiasat.

Kesalahan itu dilakukan pada 5 Ogos 2020 kira-kira jam 10.30 pagi, berhampiran pencawang elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB) Taman Tasek Bahau berhampiran Mahkamah Majistret Bahau di Jempol.

Berikutan itu, tertuduh didakwa telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan, sabit kesalahan boleh dihukum penjara selama tempoh boleh sampai dua tahun atau dengan denda, atau dengan kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Azrif Firdaus Mohamad Ali mencadangkan jaminan RM5,000 dengan syarat tambahan iaitu tertuduh perlu hadir ke Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Seremban satu kali setiap bulan sehingga kes selesai.

Isteri tertuduh yang hadir sebagai penjamin merayu supaya wang jaminan dikurangkan kepada RM3,000.

Mahkamah menetapkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin dan tertuduh perlu melapor diri di Pejabat SPRM Seremban sekali sebulan.

Artikel Berkaitan:

Sebutan semula kes untuk serahan dokumen 18 Januari depan.