Mohon menteri tegur harga burger di stadium

Gambar hiasan 123RF
Gambar hiasan 123RF
A
A
A

MERAK Jalanan puji tindakan Menteri Belia dan Sukan yang baharu, Hannah Yeoh apabila meminta Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menurunkan harga tiket perlawanan Piala AFF.

Bukan sekali tetapi dua kali harga tiket itu diturunkan dalam tempoh 24 jam selepas menteri berkenaan menegur FAM mengenai perkara tersebut.

Ini semua demi rakyat terutama penyokong yang mahu memberikan sokongan padu kepada Harimau Malaya tanpa rasa terbeban dengan harga tiket dan perbelanjaan lain seperti minyak kereta atau pengangkutan awam.

Sebagai penyokong dalam kategori B40, Merak Jalanan mohon Menteri Belia dan Sukan tegur juga mengenai harga burger di stadium.

Sekeping daging dan roti tanpa sayur bersama secalit sos dijual pada harga RM5. Terasa mahal membayar untuk sebiji burger yang ala kadar dan kadangkala tidak sempurna masak atau hangit.

Namun penyokong yang sudah berada di tempat duduk ketika perlawanan berlangsung, tidak mempunyai pilihan membeli kerana masing-masing kelaparan.

Jika datang seorang tidak mengapa tetapi jarang kita pergi menonton perlawanan bola sepak di stadium secara sendirian.

Bagi yang datang bersama ahli keluarga, pasti perut anak-anak jadi keutamaan dan sebiji burger tidak cukup dikongsi berdua atau tiga orang.

Artikel Berkaitan:

Penyokong bukanlah minta burger stadium itu diberi percuma. Apa yang Merak Jalanan lihat, penyokong mahu harga makanan tersebut dipantau agar tiada pihak ambil kesempatan.

Pihak pengurusan stadium kena buka mata untuk ringankan beban perbelanjaan penyokong ke stadium. Jangan ambil kesempatan di atas kesetiaan penyokong. Jika mahu lebih ramai hadir ke stadium, boleh bantu dengan pelbagai cara.

Mohon Menteri Belia dan Sukan tegur. Apa guna stadium berprestij tapi jual burger yang tidak sedap dan mahal berbanding gerai tepi jalan.