Dua ditahan disyaki edar 3kg dadah

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SIBU - Seorang lelaki dan seorang wanita ditahan kerana memiliki dadah lebih tiga kilogram (kg) yang dipercayai untuk diedarkan di sini, pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili berkata, kedua-dua suspek ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersil IPD Sibu di sebuah rumah di Jalan Keranji pada jam 5.30 petang.

"Semasa penahanan tersebut, polis menemukan 99 paket plastik dengan label bertulis ‘Juice Master’ berisi 3.420 kilogram dadah dipercayai ekstasi yang dianggarkan bernilai RM171,000. Turut ditemukan adalah 18 biji pil merah jambu seberat 5.90g dipercayai pil ekstasi,” katanya dalam kenyataan, pada Khamis.

Menurutnya, ujian saringan mendapati suspek lelaki, yang berusia 28 tahun itu positif mengambil dadah jenis methamphetamine dan amphetamine manakala ujian yang sama mendapati suspek wanita berusia 53 tahun itu negatif.

Kedua-duanya kini disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati.

Suspek lelaki itu turut disiasat di bawah Seksyen 15 (1) akta yang sama yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali dan pengawasan selama dua tahun.

Menurut Zulkipli, lelaki itu direman selama tujuh hari manakala wanita itu direman tiga hari bermula Khamis bagi membantu siasatan. - Bernama

Artikel Berkaitan: