[VIDEO] JAINJ gagalkan penganjuran pesta buih di hotel mewah

Mohd Fared meninjau gerai pameran usahawan selepas perhimpunan bulanan di Pusat Islam Iskandar pada Khamis.
Mohd Fared meninjau gerai pameran usahawan selepas perhimpunan bulanan di Pusat Islam Iskandar pada Khamis.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) berjaya menggagalkan penganjuran pesta buih yang dijadual diadakan di sebuah hotel mewah di bandar raya ini pada malam Jumaat.

Exco Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, JAINJ menerima maklumat daripada orang awam berhubung pesta buih selepas tersebar jemputan ke parti secara tertutup berkenaan di media sosial.

Jelasnya, JAINJ sudah menghubungi penganjur dan pemilik hotel terbabit dan mereka bersetuju untuk membatalkan parti yang akan dirancang diadakan di kolam renang hotel berkenaan.

"Selepas menerima aduan tersebut, JAINJ terus menghubungi penganjur dan pemilik hotel terbabit. Hasil perbincangan mereka bersetuju membatalkan pesta itu.

"JAINJ berpandangan bahawa pesta buih itu tidak sepatutnya dianjur dan diadakan di negeri ini berikutan ia melanggar Enakmen Jenayah Syariah Johor selain mengundang ketidakselesaan masyarakat.

"Bahkan yang cukup merisaukan adalah membabitkan orang Islam kerana dikhuatiri berlaku pergaulan bebas dan perlakuan tidak sopan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas perhimpunan bulanan agensi Hal Ehwal Agama Islam Johor, di Pusat Islam Iskandar di sini pada Khamis.

Mohd Fared berkata, JAINJ tegas untuk tidak membenarkan pesta berkenaan diadakan dan akan meneruskan pemantauan di hotel mewah berkenaan selain lokasi lain bagi memastikan pesta buih itu tidak diteruskan dan diadakan secara sembunyi.

Artikel Berkaitan:

"Johor bukan tempatnya, amaran sudah diberi amaran dan penguat kuasa akan bertindak jika penganjur atau mana-mana lokasi meneruskan pesta buih itu.

"Pencegahan terhadap program maksiat bukan dilakukan secara bermusim tetapi akan diteruskan sepanjang masa," katanya.

Beliau turut menggalakan orang awam supaya terus membuat aduan kepada JAINJ sekiranya terdapat penganjuran program berunsur maksiat.

"Kadang-kala penguatkuasa juga terlepas pandang dan tiada maklumat mengenai program sebegitu akan diadakan.

"Justeru itu, orang awam yang mempunyai boleh menghubungi penguatkuasa JAINJ di talian yang dinyatakan di laman web," katanya.