Pil gugur kandungan, apa kata pakar?

Gambar kecil: Dr Mohamed Rafi
Gambar kecil: Dr Mohamed Rafi
A
A
A

MISOPROSTOL, mifepristone dan cytolog merupakan antara pil yang sering digunakan untuk tujuan rawatan keguguran kandungan, namun kesannya yang sangat kuat menyebabkan hanya doktor pakar layak mengeluarkan preskripsi untuk pesakit.

Pakar penyelidik farmasi Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Mohamed Azmi Hassali berkata, tanpa pengawasan doktor pakar, pendarahan tanpa henti boleh meragut nyawa ibu yang mengambil pil untuk tujuan gugur kandungan.

“Ia boleh digunakan secara sendirian (vaginal insert) atau pun kombinasi oral (misoprostol dan mifepristone).

“Sekiranya penggunaan ubat tersebut digunakan tanpa pengawasan yang sepatutnya, ia boleh membawa kesan sampingan seperti kekejangan, rahim terkoyak, pendarahan tidak normal, masalah jantung dan mandul. Sekiranya tidak dirawat segera boleh membawa kepada maut,” tegasnya kepada wartawan Sinar Siasat baru-baru ini.

Mohamed Azmi mencadangkan bagi membendung penjualan misoprostol secara dalam talian, disarankan KKM memperhebatkan lagi kempen kesedaran pengguna, mempertingkatkan operasi penguatkuasaan, memperluaskan saringan media sosial dan mempergiatkan lagi kerjasama antara agensi penguatkuasaan dalam negara dan luar negara.

Senada dengan Mohamed Azmi, pakar Obstetrik dan Ginekologi Hospital Umra, Datuk Dr Mohamed Rafi Mohammed Feizal turut menegaskan pil gugur janin yang dijual di laman sosial seperti Facebook tidak 100 peratus selamat kepada pengguna.

Katanya, pil tersebut boleh menyebabkan pengguna mengalami pendarahan teruk sehingga boleh membawa maut.

“Biasanya pil dijual dalam talian ialah misoprostol dan mifepristone. Selepas menggunakan pil itu dalam beberapa jam ia akan menyebabkan pengerasan rahim dan membunuh janin dalam rahim. Kemudian pengguna mengalami pendarahan dan dikhuatiri pendarahan menjadi terlalu banyak hingga boleh membawa maut.

Artikel Berkaitan:

“Selain itu, ada juga kes, pengguna pengsan setelah janin keluar dan ini sebenarnya boleh membahayakan nyawa. Saya pernah menerima pesakit mengalami pendarahan dan mengalami kesakitan sangat teruk selepas guna pil berkenaan,” katanya.

Dr Azmi
Dr Azmi

Kata Dr Mohamed Rafi, dikhuatiri jika pengguna pil tersebut tidak peka dengan usia janin sewaktu mengambil pil itu lebih mendedahkan pengguna kepada risiko bahaya.

Pengarah Perubatan Hospital Umra itu berkata, kedua-dua pil tersebut telah diharamkan dijual di Malaysia beberapa tahun lalu.

“Pil ini sebenarnya digunakan untuk kes-kes pendarahan selepas kelahiran, tetapi disalahgunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab apabila tahu ia boleh digunakan untuk menggugurkan kandungan,” katanya.

Pil gugur kandungan dijual secara online dikhuatiri ubat tiruan

Penjualan ubat gugur janin secara online dikhuatiri adalah ubat tiruan yang diimport secara haram.

Pakar penyelidik farmasi Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Mohamed Azmi Hassali berkata, penjualan ubat dalam talian di samping penguatkuasaan lemah telah membuka ruang kepada produk ubat tiruan memasuki negara-negara ketiga hingga Pertubuhan Kesihatan Sedunia menjangkakan lebih 50 peratus ubat dijual secara online adalah ubat tiruan.

Mohamed Azmi mendedahkan, penjual juga nekad mengimport secara haram dari negara-negara luar selepas pihak berkuasa Malaysia tidak lagi membenarkan tablet misoprostol dijual di pasaran tempatan kecuali di hospital atas kebenaran Ketua Pengarah Kesihatan.

“Tindakan licik seperti ini pernah terbongkar apabila Bahagian Penguatkuasaan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berjaya merampas lebih 1,400 tablet misoprostol diimport dari India bernilai lebih RM63,000,” katanya.

Menurutnya, masyarakat perlu mengetahui bahawa undang-undang di negara ini tidak membenarkan pengguguran janin selain tujuan rawatan.

“Mengugurkan janin secara haram merupakan kesalahan boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 312 Kanun Keseksaan.

“Kesalahan menjual misoprostol boleh disabitkan di bawah Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 kerana menjual produk tidak berdaftar dan Akta Racun 1952 kerana menjual ubat terkawal tanpa lesen.

“Misoprostol sebenarnya diklassifikasikan sebagai racun kumpulan B dalam Jadual Racun Berjadual Akta Racun 1952, iaitu sejenis ubat terkawal dan hanya boleh dibekalkan kepada pesakit dengan preskripsi doktor.

'Mandul' 4 tahun lepas ambil pil gugur janin

Seorang wanita tidak menyangka tindakannya menggunakan pil gugur janin yang dibeli di laman sosial empat tahun lalu berakhir dengan tragedi.

Wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Kaithi berkata, sejak empat tahun lalu dia gagal mengandung lagi walaupun telah melakukan pelbagai usaha.

“Saya ambil pil ini sebab saya baru melahirkan anak sebelum itu. Bimbang majikan marah sebab mengandung terlalu rapat, saya gugurkan kandungan saya itu.

“Selepas ambil pil tu, saya susah nak mengandung dah. Tak tahulah sebab apa tapi mungkin kesan makan pil gugur kandungan,” katanya kepada wartawan Sinar Siasat baru-baru ini.

Seorang lagi wanita Sheila, 35, mengaku, dia sendiri terkejut dengan pendarahan yang banyak dan tidak berhenti selepas mengambil pil gugur janin jenis mifepristone. Katanya, pendarahan itu berlarutan lebih seminggu.

“Rasa sakitnya tidaklah teruk sangat seperti rasa sakit senggugut. Tapi pendarahan tidak berhenti, lebih seminggu juga tempoh pendarahan,” kata Sheila sambil memberitahu dia terpaksa menggugurkan kandungannya atas faktor usia dan suami yang tinggal berjauhan di Sarawak.

Kata Sheila, bimbang dengan pendarahan yang agak banyak dan berlarutan, dia kemudian merujuk kepada klinik berdekatan untuk mendapatkan nasihat.

Selain kisah Kaithi dan Sheila, mungkin ramai yang masih ingat satu kes di Kuala Nerus, Terengganu apabila seorang wanita berusia 22 tahun membeli 10 biji kapsul ubat gugur berharga RM600 yang dijual menerusi Facebook untuk menggugurkan kandungannya berusia 20 minggu.

Dia yang panik dengan keguguran kandungannya membawa janin yang sudah tidak bernyawa itu ke klinik sebelum membuat laporan polis.

Perbuatan menggugurkan janin menyebabkan dia kini disiasat mengikut Seksyen 315 Kanun Keseksaan kerana dengan niat hendak mengelakkan anak daripada dilahirkan hidup atau hendak menyebabkan ia mati selepas dilahirkan.

ARTIKEL BERKAITAN: Sindiket pil 'bunuh' janin