Kontroversi yang boleh jejas reputasi khidmat awam

Foto hiasan
Foto hiasan
A
A
A

MENJADI kewajipan seseorang untuk memberi khidmat telus dan tulus sekiranya berada di kedudukan tinggi sebagai penjawat awam. Tidak kira dengan siapa pun perlu berurusan, sikap dan pembawaan diri perlu selari dengan situasi serta berfikiran rasional.

Baru-baru ini, penamatan khidmat Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah sedikit sebanyak menjawab kontroversi dalam kalangan penjawat awam.

Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata, penamatan itu selaras dengan peraturan 49(3) Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [P.U. (A) 395/1993].

Bagaimanapun, tular sepucuk surat penamatan tugas Mohd Shafiq bertarikh 1 Disember lalu yang ditandatangani Mohd Zuki berkuat kuasa Isnin.

Mohd Shafiq dikhabarkan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang menganiayanya. Tegasnya, terdapat beberapa usaha untuk memburukkan reputasinya yang dilakukan tanpa henti menerusi pelbagai saluran media termasuk media sosial.

Mohd Shafiq, 58, pernah terpalit kontroversi apabila dituduh mengeluarkan kata-kata kesat terhadap Pegawai Jabatan Imigresen Malaysia yang bertugas di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA). Susulan itu satu jawatankuasa khas ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan berkenaan.

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagaimanapun menjelaskan bahawa Mohd Shafiq hanya membuat teguran terhadap imigresen, khususnya Ketua Penolong Penguasa Imigresen, James Lee berhubung ketidakpatuhan amalan dan prosedur. Namun, beberapa pihak menggesa Mohd Shafiq melepaskan jawatannya secara terhormat.

Presiden Persatuan Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik (PPTD), Datuk Isham Ishak berkata, meskipun ia keputusan yang berat, namun dilaksanakan dengan penuh tertib dan berlandaskan peraturan bagi menjamin kebajikan penjawat awam.

Artikel Berkaitan:

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Adnan Mat pula berkata, keputusan itu diambil bersandarkan hasil dapatan jawatankuasa siasatan yang ditubuhkan. Adnan turut meminta semua pihak menghormati keputusan tersebut sebagai ‘pengajaran yang berguna’.

Kisah penamatan khidmat Mohd Shafiq itu sedikit sebanyak menyimpulkan bahawa pegawai tinggi kerajaan sepatutnya menunjukkan teladan baik kepada semua penjawat awam termasuk rakyat Malaysia.