Polis tak dapat halang orang awam bantu cari Acap

Razarudin (tengah), menyaksikan Rozeni ‘menyerahkan’ tugas keapda Mohd Khaizam.
Razarudin (tengah), menyaksikan Rozeni ‘menyerahkan’ tugas keapda Mohd Khaizam.
A
A
A

IPOH - Polis tidak dapat menghalang kemasukan orang ramai yang mahu sama-sama membantu mencari peserta Gopeng Ultra Trail, Mohammad Asraf Hassan atau Acap 29, yang ‘hilang’ sejak 23 Mac lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain berkata, kewujudan banyak ‘laluan tikus’ atau laluan masuk ke kawasan berkenaan memungkinkan kemasukan orang ramai ke situ.

Malah menurutnya, kemasukan orang ramai juga tidak boleh dijangka kerana penduduk kampung turut menjalankan usaha mencari Acap.

“Kita tak boleh sekat orang ramai masuk sebab laluan tikus ni banyak. Bukan satu laluan sahaja.

“Kalau nak letakkan anggota kita untuk pastikan tidak ada kemasukan orang awam, kita juga tak boleh jangkakan kerana orang tempatan di situ turut mencari,” katanya pada sidang media sempena Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Sungai Siput, antara Superintendan Rozeni Ismail dengan Superintendan Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin di Dewan LDP Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), Sungai Siput, pagi tadi.

Razarudin berkata demikian bagi mengulas laporan polis daripada abang Acap, Mohammad Azlan Hasan yang meminta orang awam atau mana-mana badan sukarelawan tidak lagi datang ke kampung tempat dia didapati hilang.

Sementara itu Razarudin berkata, dia mengakui pihaknya memang ada menerima laporan berkenaan.

Justeru katanya, polis memohon kepada orang ramai yang mahu memasuki kawasan berkenaan selepas ini perlu melapor diri terlebih dahulu.

Artikel Berkaitan:

“Untuk sekat memang keupayaan kita rendah, tetapi kita akan tentukan bahawa orang awam yang masuk itu kena lapor dahulu kepada kita.

“Kebenaran itu mungkin kita boleh bagi atau kita tidak boleh bagi. Itu atas kita. Kita tengok keadaan. Mungkin kalau pagi kita benarkan tetapi kalau sebelah malam kita tidak akan benarkan,” katanya.