[VIDEO] Sanusi sedia bertemu Anwar di mahkamah

Muhammad Sanusi (kanan) sedia bertemu dengan Anwar di mahkamah.
Muhammad Sanusi (kanan) sedia bertemu dengan Anwar di mahkamah.
A
A
A

ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor sedia bertemu dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di mahkamah berikutan kes saman fitnah terhadapnya.

Memetik status yang dimuat naik di laman Facebook peribadinya pada Selasa malam, beliau memberi bayangan berkenaan dengan berkata "jumpa di mahkamah lah... kita kisahkan tentang sejarah..."

Hantaran di Facebook itu juga disertakan dengan beberapa gambar dokumen peguam daripada Tetuan SN Nair & Partner.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun berkata, Muhammad Sanusi telah membuat ucapan berbaur fitnah semasa kempen Jelajah Perikatan Nasional (PN) ‘Best’ Tambun 13 November lalu sebagai menyokong Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang juga calon PN bagi kerusi Tambun.

Status yang dimuat naik di laman Facebook Muhammad Sanusi pada Selasa malam
Status yang dimuat naik di laman Facebook Muhammad Sanusi pada Selasa malam

Beliau berkata, kenyataan Muhammad Sanusi yang juga Pengerusi PN Kedah itu disiarkan secara langsung menerusi Facebook bawah nama Faizal Azumu.

Menurut Anwar, dakwaan yang dilemparkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu telah merosakkan reputasinya sebagai Presiden PKR, Pengerusi PH, Ahli Parlimen Tambun dan kini sebagai Perdana Menteri ke-10 serta Menteri Kewangan.

Muhammad Sanusi didakwa memutarbelitkan kebenaran dan menyebarkan kepalsuan dengan Pengampunan Diraja yang diberikan kepada Anwar secara sah pada tahun 2018.

Artikel Berkaitan:

Dakwanya lagi, ceramah itu antaranya membawa maksud beliau telah menyalahgunakan kuasa dan kedudukannya, selain melabelkan beliau sebagai seorang pembohong.