Penduduk perlu berwaspada ancaman buaya - Perhilitan

Laporan Sinar Harian pada Selasa.
Laporan Sinar Harian pada Selasa.
A
A
A

KUANTAN - Penduduk di 10 kampung yang berada berhampiran lembaran Sungai Belat dan Sungai Kuantan diminta untuk berwaspada dengan ancaman buaya terutamanya ketika banjir dan air pasang besar.

Lapan perkampungan yang terlibat ialah Kampung Sri Damai; Jalan Air Hitam, Inderapura, Tali Air Kampung Razali, Sungai Isap, Kampung Belukar, dan Kampung Kurnia membabitkan kawasan di sekitar Sungai Belat.

Manakala dua lagi kampung ialah Kampung Belukar dan Tali air Kampung Jawa.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pahang, Rozidan Md Yasin berkata, kawasan di lembangan Sungai Belat dan Sungai Kuantan merupakan kawasan habitat reptilia itu.

Menurutnya, ketika musim tengkujuh mahupun air pasang besar, reptilia terbabit akan keluar daripada habitat asalnya.

Jadi, kita nasihatkan penduduk di sekitar dan pengguna laluan berhampiran anak sungai berkenaan supaya berwaspada.

"Hindari kawasan berhampiran dengan sungai dan jangan meranduk air semasa banjir dan jangan cuba provokasi hidupan liar sekiranya terserempak dengan mereka," katanya pada Rabu.

Pada Isnin malam, tular satu video berdurasi 29 saat yang telah dimuat naik yang dimuat naik pemilik akaun Facebook Rafiq Khan mengenai kehadiran reptilia berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Rafiq nama sebenarnya Mohammad Rafiq Khan Ahmad Khan yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Manis memaklumkan video buaya itu diperoleh daripada salah seorang penduduk di kampung terbabit.

Mengulas lanjut mengenai penemuan buaya terbabit, Rozidan berkata, pemantauan yang dilakukan pada Selasa mendapati kelibat buaya berkenaan tiada di lokasi.

"Kejadian air pasang besar dan banjir akan menyebabkan paras air sungai melimpah ke tebing sungai dan menyebabkan spesies hidupan liar seperti buaya akan bergerak keluar dari habitat asalnya," jelas beliau.

Beliau memberitahu aktiviti berhampiran atau di sungai yang mempunyai populasi buaya perlu dielakkan.

"Kalau boleh biarkan sedikit jarak dengan air bagi memberi masa untuk anda mengelak bertembung dengan buaya.

"Berhati-hati semasa berada di air yang cetek dan semasa menaiki bot dan jika ternampak buaya, jangan cuba menghampirinya," jelas beliau.

Sehubungan itu, orang ramai diminta untuk maklumkan segera kepada pihak Perhilitan di talian 09-5733 811 atau talian hotline di 1-800-88-5151,jika terjumpa hidupan liar termasuk buaya.