Polis tahan dua lelaki, rampas dadah bernilai RM65,000

Barangan lain yang dirampas hasil serbuan berkenaan. - Foto Polis Johor Bahru Selatan
Barangan lain yang dirampas hasil serbuan berkenaan. - Foto Polis Johor Bahru Selatan
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis Johor Bahru Selatan menahan dua lelaki berusia 21 dan 36 tahun selain merampas dadah jenis syabu seberat 530 gram serta pil yaba seberat 124 gram yang dianggarkan bernilai RM65,000 dalam serbuan di sebuah rumah di sini, pada Selasa.

Menurut Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Assisten Komisioner Raub Selamat, polis turut merampas sebuah motosikal jenis Yamaha 125z dan wang tunai berjumlah RM150 pada serbuan berkenaan.

“Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan telah menjalankan serbuan di sebuah rumah di sini dan menahan dua lelaki berumur 21 dan 36 tahun.

“Hasil pemeriksaan, polis turut merampas sejumlah dadah jenis syabu seberat 530 gram yang dianggarkan berjumlah RM53,000 dan pil yaba seberat 124 gram yang dianggarkan berjumlah RM12,000 dan menjadikan jumlah rampasan dadah kali ini berjumlah RM65,000.

“Hasil ujian saringan awal air kencing yang dilakukan mendapati kedua-dua lelaki berkenaan positif dadah jenis Methamphetamine dan berdasarkan semakan kedua-duanya juga memiliki rekod lampu berkaitan dadah di mana suspek pertama memiliki 10 rekod dadah manakala suspek kedua memiliki dua rekod dadah,” katanya.

Kedua-dua suspek turut didapati memiliki rekod lampau berkaitan dadah di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum mandatori gantung sampai mati.

Kedua-dua suspek berkenaan kini ditahan reman selama tujuh hari di bawah Seksyen 117 KPJ mulai 13 Disember hingga 19 Disember 2022.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan jenayah, boleh terus menghubungi hotline IPD Daerah Johor Bahru Seltan di talian 07-2182323.