Johor Bahru catat kes HIV tertinggi di Johor

Sebanyak 494 kes HIV dicatatkan di Johor sehingga minggu epid 49/2022. - Foto hiasan/123RF
Sebanyak 494 kes HIV dicatatkan di Johor sehingga minggu epid 49/2022. - Foto hiasan/123RF
A
A
A

JOHOR BAHRU - [DIKEMAS KINI] Johor mencatatkan 494 kes HIV sehingga minggu epid 49/2022 atau dari 4 hingga 10 Disember 2022, kata Exco Kesihatan dan Perpaduan negeri, Ling Tian Soon.

Beliau memberitahu, Johor Bahru mencatatkan kes HIV tertinggi berjumlah 122 kes iaitu 60 peratus diikuti Batu Pahat 21 kes (10 peratus), Kluang dan Kulai masing-masing 14 kes (6 peratus) dan lain-lain daerah 32 kes (15 peratus).

"Daripada 494 kes itu hanya 203 kes diklasifikasikan sebagai HIV baharu dengan kadar 5.0 kes bagi setiap 100,000 penduduk.

"Majoriti kes HIV tersebut melibatkan mereka yang berumur antara 20 hingga 39 tahun iaitu 160 kes diikuti 50 tahun ke atas (20 kes), 40 hingga 49 tahun (19 kes) dan 13 hingga 19 tahun (4 kes).

"Daripada jumlah kes HIV baharu yang dilaporkan itu melibatkan lelaki sebanyak 180 kes manakala wanita sebanyak 23 kes," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, penyumbang utama bagi kes HIV baharu sehingga minggu epid tersebut adalah melalui hubungan homoseksual atau biseksual yang membabitkan 116 kes, diikuti hubungan heteroseksual (78 kes) dan perkongsian jarum suntikan (1 kes).

Ling Tian Soon
Ling Tian Soon

Jelas Tian Soon, bagi kes AIDS untuk tempoh yang sama, sebanyak 244 kes dilaporkan berbanding 183 kes dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

Katanya, peningkatan kes AIDS itu adalah disebabkan fasiliti kesihatan sedang mengenal pasti dan melaporkan kes AIDS mengikut klasifikasi yang ditetapkan.

"Kematian HIV dan AIDS masing-masing adalah 19 kes dan 62 kes berbanding 11 kes dan 43 kes bagi tempoh yang sama pada tahun 2021.

"Kerajaan negeri akan terus menerajui kepimpinan dan memberikan komitmen penuh dalam agenda negara menangani HIV/AIDS dan merealisasikan kesaksamaan ke arah matlamat kita mengakhiri AIDS menjelang 2030," ujar beliau.

Tambahnya, aktiviti kesedaran, saringan dan rawatan sedang giat dipertingkatkan di seluruh negeri.

"Orang yang dijangkiti HIV/AIDS dan populasi kunci digalakkan menjalani ujian dan mendapatkan rawatan serta mengambil langkah-langkah sewajarnya dalam melindungi diri dan pasangan daripada jangkitan," katanya.