Lazada, RWG bekerjasama sebagai Rakan eDagang Teras

Rick Ting (dua dari kiri) dan Spencer Lee (dua dari kanan) bersalaman selepas menandatangani perjanjian tersebut.
Rick Ting (dua dari kiri) dan Spencer Lee (dua dari kanan) bersalaman selepas menandatangani perjanjian tersebut.
A
A
A

LAZADA Malaysia (Lazada) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Resorts World Genting (RWG) pada Selasa untuk kerjasama jangka panjang sebagai Rakan eDagang Teras.

Naib Presiden Eksekutif, Ketua Pertumbuhan Pengguna dan Trafik Lazada Malaysia, Rick Ting mewakili Lazada manakala Naib Presiden Kanan, Jualan dan Pemasaran, Resorts World Genting, Spencer Lee mewakili RWG telah menandatangani MoU itu yang diadakan di sebuah hotel di Genting Highland, Pahang.

Pengaktifan di destinasi Resorts World Genting untuk mempromosikan Jualan Sepuas Hati 12.12 Lazada.
Pengaktifan di destinasi Resorts World Genting untuk mempromosikan Jualan Sepuas Hati 12.12 Lazada.

Lazada dalam satu kenyataan berkata, kolaborasi tersebut merupakan usaha strategik bersama untuk membawakan pengalaman percutian, hiburan dan membeli-belah yang mengujakan di destinasi unik seperti Genting Highland ke platform dalam talian (online) Lazada.

“Usaha tersebut mampu merangsang pertumbuhan dan memacu pemulihan industri pelancongan domestik di Malaysia. RWG akan menawarkan pakej eksklusif dan tawaran pada harga yang berpatutan di Lazada dan ia boleh didapati dengan mudah menerusi capaian meluas yang dimungkinkan oleh platform e-dagang.

“Para pelanggan di Lazada boleh mendapatkan tiket taman tema dan pakej penginapan hotel serta e-produk atau e-servis secara digital pada harga istimewa, seperti tiket konsert dan persembahan oleh artis tempatan dan antarabangsa, di samping baucar makanan dan minuman,” jelas kenyataan itu.

Menerusi MoU tersebut, Lazada turut mengenal pasti RWG sebagai destinasi pilihan untuk acara korporat dan aktiviti 'team building'.

Sementara itu, Rick berkata, kolaborasi di antara Lazada dan RWG telah bermula sejak Mac 2022 dan pihaknya komited untuk membentuk kerjasama jangka panjang ke arah membina semula industri pelancongan domestik.

Artikel Berkaitan:

“Kami berbesar hati menjadi Rakan eDagang Teras bagi RWG dan bekerjasama untuk menawarkan pengalaman berbeza dan lain dari yang lain, termasuklah pengalaman mengujakan 360 darjah untuk dinikmati oleh pelbagai segmen pengguna,” katanya.

Bagi Spencer pula, kolaborasi itu merupakan pemangkin yang membolehkan pihaknya mendekati pelanggan, malah memudahkan mereka untuk merancang percutian, libur hujung minggu dan aktiviti riang ria bersama rakan-rakan dan keluarga.

Beliau berkata, sempena Jualan Sepuas Hati 12.12 Lazada, kedai rasmi dalam talian Resorts World Genting di LazMall menawarkan pelbagai tawaran eksklusif pada harga istimewa seperti pakej penginapan hotel yang merangkumi semua keperluan, tiket taman tema dan tiket Awana Skyway.