Dera, tanam mayat anak

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang penganggur bertindak kejam menanam mayat anaknya di sebuah kawasan riadah selepas mendera mangsa sehingga maut sebelum diberkas pada Ahad.

Suspek yang merupakan lelaki warga tempatan itu dipercayai menanam mangsa yang merupakan kanak-kanak perempuan berumur sembilan tahun berhampiran kawasan tepi jalan Taman Dusun Bandar, Jalan Bellamy di sini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, pihaknya sebelum itu menerima laporan daripada isteri suspek yang mendakwa suspek mendera anak mereka.

"Isteri suspek yang merupakan wanita warga asing berumur 40an itu membuat laporan polis pada Jumaat lalu selepas mendapati anaknya yang berusia sembilan tahun dalam keadaan lemah dan darah keluar dari mulut.

"Wanita tersebut menyedari keadaan anak perempuannya itu sebaik pulang bekerja kira-kira jam 7 malam di kediaman mereka di Jalan Pudu," katanya menerusi kenyataan pada Isnin.

Katanya, bertindak atas maklumat, pihak polis kemudian pergi ke rumah suspek bagaimanapun suspek dan anaknya tiada di lokasi.

"Polis kemudian menjalankan usaha mengesan suspek sebelum suspek berjaya diberkas kira-kira jam 12.30 tengah hari di Jalan Pasar Pudu pada Ahad.

"Suspek yang diberkas berumur 40an mengaku telah menanam mangsa di tepi jalan Taman Dusun Bandar, Jalan Bellamy di sini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, suspek kemudian direman tujuh hari bagi siasatan lanjut.

"Kes disiasat dibawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dan Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.