Rakyat Peru tolak presiden baharu

Presiden baharu Peru, Dina Boluarte ditemani komander dari Tentera Udara di Lima. - Foto AFP
Presiden baharu Peru, Dina Boluarte ditemani komander dari Tentera Udara di Lima. - Foto AFP
A
A
A

LIMA - Presiden baharu Peru, Dina Boluarte pada Ahad mengumumkan bahawa beliau akan berusaha mengadakan pilihan raya dua tahun lebih awal selepas gesaan penunjuk perasaan menuntut peletakan jawatannya di seluruh negara.

Pada masa sama, beliau turut mengisytiharkan perintah darurat di kawasan tertentu selepas protes membantah penahanan bekas Presiden Pedro Castillo, sehingga kini telah mengorbankan dua orang.

Tunjuk perasaan di utara dan bandar Andes telah menggesa pilihan raya baharu selain gesaan pembebasan Castillo yang didakwa cuba membubarkan Kongres dan memerintah melalui dekri.

"Dengan mentafsir kehendak rakyat...Saya membuat keputusan mengambil inisiatif mencapai persetujuan dengan Republik Kongres untuk mengadakan pilihan raya pada bulan April 2024," kata Boluarte dalam ucapan di televisyen.

Boluarte menambah, 'dengan sentimen patriotik sama' beliau mengisytiharkan perintah darurat di kawasan konflik sosial untuk memulih keadaan.

Boluarte, seorang bekas pendakwa raya yang berkhidmat sebagai Naib Presiden telah tergesa-gesa mengangkat sumpah untuk menggantikan bekas presiden Castillo berikutan pemecatan dan penahanan pada minggu lalu.

Pada Sabtu, Boluarte memperkenalkan kabinet baharu iaitu sebuah kumpulan mempunyai profil bebas dan teknokrat selain lapan wanita.

Beliau menamakan bekas pendakwa raya Pedro Angulo sebagai Perdana Menteri. - AFP

Artikel Berkaitan: