MP Bukit Gantang serah elaun bulanan RM25,000 bantu rakyat

Syed Abu Hussin
Syed Abu Hussin
A
A
A

BUKIT GANTANG - Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal menyerahkan semua emolumem iaitu gaji atau elaun bulanan sebagai wakil rakyat berjumlah RM25,000 bagi membantu rakyat di kawasannya.

Menurutnya, tindakan itu adalah kesinambungan yang dilakukan sejak mula dipilih sebagai wakil rakyat pada 2018 agar dapat memenuhi keperluan rakyat yang terkesan.

Daripada awal saya jadi ahli Parlimen pun saya sudah serahkan duit (emolumem) kepada pegawai saya untuk uruskan bantuan bagi menjalankan semua aktiviti dan perbelanjaan di Parlimen Bukit Gantang.

"Sudah lima tahun saya tak ambil. Kali ini pun sama, saya akan gunakan wang elaun ahli Parlimen sebanyak RM25,000 ini, saya serahkan kepada pusat khidmat untuk mereka atur bantuan kepada rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Bantuan Enjin Sangkut oleh Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) kepada 25 nelayan tempatan di Pejabat Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Matang di sini pada Isnin.

Ahli Parlimen daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata, meskipun Perikatan Nasional (PN) tidak menjadi kerajaan, mereka akan tetap memberikan khidmat terbaik di setiap kawasan diwakili.

"Rakyat telah beri mandat dengan memilih siapa untuk jadi kerajaan, cuma harapan tidak terlaksana (PN jadi kerajaan).

"Perkara sudah berlaku dan walaupun kami bukan kerajaan, kami akan beri khidmat sebaiknya. Saya orang berniaga, saya ada pendapatan berniaga sendiri, jadi saya tidak bimbang," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Syed Abu Hussin menjelaskan bahawa beliau tidak akan meletak jawatan sebagai Pengerusi LKIM sebagaimana kebiasaan dilakukan apabila pentadbiran kerajaan bertukar.

Katanya, tempoh jawatan itu masih sah sehingga 2024 dan hanya akan mengundurkan diri sekiranya terdapat pelantikan pengerusi baharu bagi jawatan berkenaan.

"Apabila menteri baharu naik, dia akan memilih pengerusi yang baharu untuk menggantikan saya, (ketika itu) barulah saya undurkan diri.

"Sementara ini, masih belum ada lagi pengganti dan saya akan meneruskan khidmat sebagai pengerusi untuk bantu menyampaikan bantuan-bantuan kepada rakyat.

"Saya tidak meletak jawatan kerana memikirkan golongan nelayan yang masih perlukan saya selain saya sendiri mahu selesaikan semua kerja saya," katanya.