Pusat Jantung Hospital Serdang percepat rawatan pesakit

Pembinaan Pusat Jantung Hospital Serdang yang mula beroperasi pada Isnin itu melibatkan kos keseluruhan berjumlah RM546 juta.
Pembinaan Pusat Jantung Hospital Serdang yang mula beroperasi pada Isnin itu melibatkan kos keseluruhan berjumlah RM546 juta.
A
A
A

SHAH ALAM - Pembukaan Pusat Jantung di Hospital Serdang, Selangor yang mula beroperasi pada Isnin bakal memendekkan masa bagi pesakit jantung di dalam negara untuk mendapatkan rawatan diperlukan.

Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pengoperasian pusat rawatan itu antaranya dijangka mengurangkan masa menunggu bagi pesakit mendapatkan rawatan angiogram daripada 18 bulan kepada sembilan bulan untuk kes elektif yang stabil.

“Manakala, rawatan pembedahan elektif kardiotorasik juga boleh dikurangkan daripada enam hingga 18 bulan ke tiga hingga enam bulan.

“Selain itu, Pusat Jantung Hospital Serdang ini juga dijangka akan memendekkan tempoh menunggu prosedur elektif, separa elektif, segera dan kecemasan kes-kes kardioolgi dan kardiotorasik kanak-kanak,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya pada Isnin.

Dr Noor Hisham berkata, pembukaan Pusat Jantung itu yang dilancarkan Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa sejajar dengan keperluan di Hospital Serdang yang merupakan pusat rujukan rawatan jantung bagi Wilayah Tengah dan pusat rujukan bagi kes jantung kompleks dari seluruh negara.

Menurutnya, perkhidmatan jantung di Hospital Serdang merupakan perkhidmatan kesihatan paling sibuk dengan beban kerja paling tinggi di negara ini.

Selain memberikan perkhidmatan jantung kepada rakyat, beliau berkata, Pusat Jantung itu juga akan menyediakan latihan dan penyelidikan yang bertaraf antarabangsa dan bakal melahirkan pakar-pakar jantung di peringkat kebangsaan dan juga antarabangsa.

“Pusat Jantung ini dibina dengan satu blok kardiologi setinggi lapan tingkat yang boleh menempatkan 262 buah katil serta satu lagi blok tempat letak kereta setinggi sembilan tingkat yang mempunyai 536 petak parkir.

Artikel Berkaitan:

“Bagi memantapkan lagi perkhidmatan diagnostik penyakit jantung, Pusat Jantung Hospital Serdang ini dilengkapi dengan mesin MRI 3.0 khusus bagi pengimejan diagnostik jantung untuk memberikan imej jantung dengan empat kali lebih jelas daripada mesin MRI biasa,” ujarnya.

Dr Noor Hisham menambah, Pusat Jantung Hospital Serdang juga mempunyai kemudahan Makmal Jantung Invasif (ICL) di Jabatan Kecemasan (ED), iaitu yang pertama seumpamanya di Malaysia dan setanding dengan negara maju lain.

Katanya, kemudahan makmal ICL itu akan membolehkan kes serangan jantung akut dan kecemasan menerima rawatan segera dan terbaik seperti Primary Percutaneous Coronary Intervention (PCI).

“Pusat Jantung ini juga dilengkapi dengan Dewan Bedah Hybrid yang pertama seumpamanya di fasiliti KKM dan dianggarkan dapat memanfaatkan seramai 200-250 orang pesakit setahun,” jelasnya.

Dr Noor Hisham menjelaskan pembinaan pusat jantung yang baru dibina itu melibatkan kos keseluruhan berjumlah RM546 juta.