[VIDEO] KPDN sedia tambah baik sistem e-Aduan

Salahuddin (tiga dari kanan) pada sidang akhbar PH Johor selepas sidang DUN, di Kota Iskandar pada Ahad.
Salahuddin (tiga dari kanan) pada sidang akhbar PH Johor selepas sidang DUN, di Kota Iskandar pada Ahad.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bersedia menambah baik sistem aduan atas talian e-Aduan supaya lebih canggih dan memudahkan pengguna.

Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, e-Aduan KPDN juga perlu mesra pengguna supaya memudahkan orang ramai menyalurkan aduan berhubung isu kepenggunaan termasuk kenaikan harga barang.

"Saya akan melakukan perbincangan dengan pegawai supaya sistem e-Aduan KPDN lebih profesional dan canggih seterusnya mesra pengguna.

"Contohnya hari ini, saya membuat lawatan mengejut ke Pejabat KPDN Johor dan bertemu seorang pengguna yang datang dari Kluang semata-mata bagi membuat aduan ke tribunal pengguna.

"Sepatutnya, pengguna tak perlu datang ke pejabat KPDN yang jauh bagi membuat aduan. Oleh itu, kita perlukan sistem e-Aduan yang lebih canggih," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Pakatan Harapan (PH) Johor selepas sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), di Kota Iskandar di sini pada Ahad.

Dalam pada itu, Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Pulai dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Jeram berkata, tinjauan bekalan barangan makanan di pasaran akan lebih kerap dilakukan selepas ini.

Katanya, tinjauan itu termasuk di kawasan luar bandar terutama bagi memastikan bekalan telur bersubsidi dan minyak masak polibeg satu kilogram mencukupi.

Artikel Berkaitan:

"Sebelum ini, saya sudah membuat tinjauan di Kuala Lumpur dan Johor Bahru. Selepas ini, saya akan membuat tinjauan mengejut dan tanpa notis di pelbagai lokasi lagi terutama di luar bandar," katanya.