Warga Indonesia, dua anggota tentera promosi keganasan dipenjara

Barisan peguam berbincang mengenai keputusan di Mahkamah Rayuan Putrajaya, hari ini.
Barisan peguam berbincang mengenai keputusan di Mahkamah Rayuan Putrajaya, hari ini.
A
A
A

PUTRAJAYA - Tiga tertuduh melakukan sujud syukur di luar kandang pesalah selepas Mahkamah Rayuan di sini menjatuhkan hukuman 12 tahun dan masing-masing lapan tahun penjara kerana berkomplot mempromosikan keganasan.

Tindakan itu dilakukan warga Indonesia, Ali Saifuddin, 32, dan dua anggota tentera TUDM, Nor Azmi Jailani, 32, serta Mohd Yusri Mohamed Yusof,33, sejurus prosiding selesai.

Penal tiga hakim, diketuai Datuk Vernon Ong Lam Kiat, Datuk Zabidin Mohd Diah dan Datuk Has Zanah Mehat sebulat suara membuat keputusan itu dengan memerintah hukuman penjara berjalan dari tarikh tangkap pada 5 April 2015.

Ali dijatuhi hukuman penjara 12 tahun diikuti Nor Azmi dan Mohd Yusri masing-masing lapan tahun. Sementara itu, perayu diwakili Timbalan Pendakwa Raya Mohd Zin Ibrahim dan Muhammad Azmi Mashud memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai isyarat kesalahan ideologi adalah serius.

Di luar mahkamah pula, peguam Liaw Vern Xien, Farida Mohammad, Qurratulain Atiqah Norzahirul Anuar memberitahu pihaknya bercadang mengemukakan rayuan di Mahkamah Persekutuan.

Menurut bukti digunakan di Mahkamah Tinggi, ketiga-tiga tertuduh dikatakan terbabit dalam beberapa siri perbincangan dengan anak seorang militan Daesh mengenai rancangan menculik empat bekas menteri.

Antaranya bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, sebagai pertukaran kepada pembebasan tahanan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).

Tiga lagi menteri disasarkan ialah bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein serta bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin. Pada 8 April lalu, Mahkamah Rayuan mensabitkan ketiga-tiga tertuduh dengan kesalahan tersebut selepas membenarkan permohonan rayuan Timbalan Pendakwa Raya merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi.

Artikel Berkaitan:

Pada 16 Jun 2017, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membebaskan dan melepaskan ketiga-tiga tertuduh daripada dakwaan berkomplot mempromosi kegiatan berkaitan keganasan di Malaysia, antara 30 Januari hingga 6 April 2015, di sebuah rumah di Pengkalan Batu Hampar, Mukim Air Putih, Pendang, Kedah.

Mereka didakwa di bawah Seksyen 130G(a) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 120B(1) kanun yang sama, iaitu boleh dipenjara sehingga 30 tahun dan denda jika sabit kesalahan.