Jangan pandang rendah keupayaan Croatia

Pemain Croatia meraikan kemenangan ke atas Brazil.
Pemain Croatia meraikan kemenangan ke atas Brazil.
A
A
A

JURULATIH Croatia, Zlatko Dalic menyifatkan ia satu kebanggaan untuk pasukannya menewaskan pasukan pilihan utama, Brazil dalam aksi suku akhir Piala Dunia Qatar 2022 pada Sabtu.

Menurutnya, ia juga kemenangan untuk rakyat Croatia yang turut sama berdiri di belakang pasukan berdepan cabaran sukar menentang jaguh dari Amerika Selatan itu.

"Ini adalah kemenangan untuk rakyat Croatia. Perlawanan yang menarik, kami menyingkirkan pasukan pilihan utama.

"Ini adalah Croatia, kebanggaan, keberanian, kepercayaan dan patriotisme," katanya.

Croatia mara menerusi penentuan penalti selepas perlawanan perlawanan berkesudahan 1-1 selepas tamat masa tambahan.

Penyerang Croatia, Brutno Petkovic menyamakan kedudukan pada penghujung separuh masa kedua masa tambahan sekali gus memadam jaringan pembukaan Neymar.

Pasukan yang digelar sebagai pemusnah pasukan gergasi itu tampil cemerlang di penentuan penalti apabila menang 4-2 dengan dua tonggak Brazil, Marquinhos dan Rodrygo gagal menyempurnakan tugasan tersebut.

Croatia mara ke separuh akhir dan bakal menentang Argentina pada Rabu depan.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Dalic menegaskan tiada mana-mana pasukan yang boleh memandang rendah keupayaan pemainnya selepas membuktikan kemaraan ke pusingan seterusnya.

"Croatia sentiasa akan berjaya dan menjadi yang terbaik apabila diperlukan. Tiada siapa harus memandang rendah terhadap kami.

"Perjuangan ini belum berakhir, kami perlu bergerak ke hadapan. Kami boleh melakar lebih banyak kejayaan," katanya.