RM140,000 lesap diperdaya 'pegawai polis'

Warga emas kerugian RM140,000 selepas diperdaya seorang individu yang menyamar sebagai pegawai polis. - Gambar hiasan
Warga emas kerugian RM140,000 selepas diperdaya seorang individu yang menyamar sebagai pegawai polis. - Gambar hiasan
A
A
A

PEKAN - Tindakan seorang warga emas mendedahkan maklumat akaun kepada individu yang menyamar sebagai pegawai polis membawa padah apabila wang simpanannya berjumlah RM140,000 lesap.

Kejadian bermula apabila mangsa berusia 63 yang menetap di Felda Chini Timur 2 di sini menerima satu panggilan telefon daripada seorang lelaki yang mendakwa dirinya sebagai pegawai polis dari Ampang, Selangor jam 9 pagi pada Khamis minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin berkata, suspek memaklumkan mangsa terlibat dengan pengubahan wang haram dan perlu memindahkan semua wang simpanan ke dalam satu akaun bank lain milik mangsa kononnya bagi tujuan siasatan.

"Tanpa sebarang rasa ragu-ragu, mangsa menuruti perintah suspek dan turut memberikan semua maklumat akaun bank miliknya. Mangsa kemudian telah melakukan pemindahan wang secara berperingkat ke dalam satu lagi akaun bank miliknya berjumlah RM140,000 bermula pada 1 sehingga 6 Disember lalu.

"Namun pada keesokan harinya jam 2 petang, mangsa telah membuat semakan baki wang dalam satu lagi akaun miliknya dan mendapati wang berjumlah RM140,000 telah dipindahkan secara berperingkat ke beberapa akaun yang tidak dikenali," katanya.

Mohd Zaidi berkata, mangsa kemudian tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Pekan sejurus menyedari dia ditipu.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu," katanya.

Dalam pada itu, Mohd Zaidi meminta orang ramai tidak menerima sebarang panggilan meragukan dan dinasihatkan supaya segera membuat semakan dengan pihak polis bagi mengelak menjadi mangsa penipuan.

Artikel Berkaitan:

Tegasnya, pihak polis tidak pernah mengenakan sebarang bayaran untuk menyelesaikan kes membabitkan macau scam kerana kes itu dikendalikan oleh bahagian siasatan pengubahan wang haram, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman.

"Sebarang nasihat atau maklumat orang ramai boleh hubungi CCID Scam Respon Centre di talian 03-26101559 atau 09-4221222 (IPD Pekan)," katanya.