‘Pergilah tumpang rumah harga RM600 bilion’

Mohd Puad Zarkashi
Mohd Puad Zarkashi
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menyindir kenyataan bekas Ketua UMNO Bahagian Ketereh, Tan Sri Annuar Musa yang bermimpi tentang rumah pusaka terbakar.

Mohd Puad turut mengingatkan Annuar, rumah itu terbakar disebabkan terdapat individu di dalam rumah yang cuba melakukan perubahan dengan bertindak sesuka hati.

Katanya, rumah itu tidak terbakar, sebaliknya ia hanyalah mimpi.

“Saya bersimpati dengan Annuar Musa. Dia mimpi rumahnya terbakar dan terpaksa keluar untuk menyelamatkan diri. Rupanya mimpi saja, rumah tidak terbakar pun.

“Cuma nak ingatkan Annuar Musa. Ada rumah terbakar kerana orang dalam rumah buat wiring (pendawaian) tambahan suka hati dia. Ubah suai tidak ikut spesifikasi, orang kata memandai,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat.

Sebelum ini, Annuar yang juga bekas Setiausaha Agung UMNO meluahkan isi hati tersirat dipercayai berhubung pemecatannya sebagai Ketua UMNO Bahagian Ketereh dan ahli parti.

Menerusi laman Facebooknya pada pagi Jumaat, Annuar berkata, beliau kini hanya mampu melihat sebuah rumah pusaka yang terbakar.

Menurutnya, ramai penghuni telah melarikan diri meninggalkan rumah yang terbakar atau dibakar dan meskipun amat menyayangi rumah tersebut, beliau hanya mampu berdoa.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Mohd Puad turut beranggapan, ada sesetengah pihak yang sengaja membakar rumahnya sendiri demi meraih keuntungan peribadi.

“Tetapi ada juga orang yang sengaja bakar rumah sendiri kerana mahu untung lebih. Dia beli insuran mahal kerana tamak. Akhirnya rugi dan niat jahat dia terbongkar.

“Kalau rumah terbakar patut siram dengan air. Jangan siram dengan petrol. Lagi jahanam. Mujur sempat lari keluar. Pergilah tumpang rumah lain. Harga pun mahal, RM600 bilion,” kata beliau dengan sinis.