Bekalan air di Pulau Pinang pulih

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

GEORGETOWN - Bekalan air untuk 363,905 pengguna air berdaftar di Pulau Pinang yang terjejas telah dipulihkan dengan pemulihan bekalan air terakhir di pekan Nibong Tebal dan Mukim 5, Seberang Perai Selatan (SPS) pada jam 11 pagi, 5 Disember lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, K Pathmanathan berkata, pihaknya telah membatalkan pemasangan injap berdiameter 1200 milimeter (mm) pada Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua selepas saluran air ke bahagian pulau terganggu disebabkan oleh kerosakan salah satu daripada 24 injap pengawalan serta tekanan air di kolam air Bukit Dumbar menyusut.

Menurutnya, selain itu, faktor kenaikan tahap kekeruhan (NTU) di Lahar Tiang ketika itu juga diambil kira.

"PBAPP bagaimanapun berjaya menyiapkan kerja-kerja iaitu penggantian injap 1350mm di LRA Sungai Dua, kerja pembaikan paip 1200mm diameter di simpang Permatang Ara/Permatang Pasir dan kerja penyelenggaraan oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Rumah Pam Bukit Minyak.

"Selain itu, ketika tempoh henti tugas di LRA Sungai Dua, kita juga membuat beberapa kerja bagi mengelakkan gangguan bekalan air berjadual yang berulang kali," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Kata Pathmanathan, kerja-kerja tersebut adalah pemasangan injap kupu-kupu 600mm S-Bend di Permatang Pauh dan pemasangan injap kupu-kupu 300mm S-Bend di Taman Pauh Indah.

"Selain itu, kita juga menjalankan pengalihan paip 600mm dan 450mm paip keluli lembut (MS) untuk projek menaik taraf jambatan merentasi Sungai Kerian serta membina jejambat merentasi Persimpangan Jalan Persekutuan ke Jalan Transkrian.

"PBAPP juga mengalihkan 600mm paip keluli lembut untuk projek cadangan pelebaran jalan daripada 2 lorong kepada 4 lorong bermula dari Persimpangan Jalan Tok Kangar, Kebun Baru ke Jalan Juru Estate oleh Jabatan Kerja Raya (JKR)," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau menambah, seramai 197,851 pengguna berdaftar di Seberang Perai terjejas dengan gangguan bekalan air berjadual berikutan henti tugas sebahagian LRA Sungai Dua pada 2 hingga 4 Disember lalu.

Pathmanathan berkata, PBAPP melaksanakan kerja-kerja penggantian injap di LRA Sungai Dua dan pembaikan paip di Permatang Ara bermula jam 10 malam pada 2 Disember lalu.

"Petang 3 Disember, beberapa kawasan terutamanya di Seberang Perai Utara (SPU) sudah mula menerima bekalan air secara berperingkat seperti yang dijadualkan. Selain di SPU, kebanyakan pengguna di Seberang Perai Tengah juga menerima bekalan air pada malam yang sama.

"Sebahagian pengguna di Seberang Perai Selatan (SPS) menerima bekalan pada pagi 4 selepas Rumah Pam Bukit Minyak beroperasi. Bagaimanapun ada kawasan-kawasan di SPS hanya pulih bekalan air bermula jam 1 pagi, 5 Disember apabila kolam air dan sistem pam di SPS kembali normal," katanya.

Menurut beliau, kerosakan injap di pekan Nibong Tebal menyebabkan beberapa kawasan sekitar masih terputus bekalan air.

"PBAPP berusaha secara berterusan bagi memulihkan bekalan air untuk 500 pengguna berdaftar di Jalan Baru dekat Pekan Nibong Tebal, Jalan Teluk Ipil dan Kampung Che Isa.

"Kerja-kerja penggantian injap berkenaan selesai dijalankan pada jam 10.45 pagi, 5 Disember lalu dan bekalan air ke kawasan berkenaan pulih semula," katanya.

Jelasnya, seramai 165,054 pengguna di beberapa kawasan di daerah Timur Laut dan Barat Daya terjejas dengan Gangguan Bekalan Air Luar Jangka bermula jam 3.30 pagi, 3 Disember lalu.

"Bekalan air mula disalurkan semula kepada pengguna-pengguna di bahagian pulau mulai jam 4.15 petang 3 Disember secara berperingkat. Dalam hal ini, PBAPP berjaya memulihkan bekalan air dalam tempoh 12 jam dan kebanyakan kawasan telah menerima bekalan air dalam tempoh 24 jam.

"Namun demikian, bekalan air kepada 29,382 pengguna di beberapa kawasan di bahagian pulau, iaitu yang berada di kawasan tinggi, hujung paip agihan dan pangsapuri yang tidak mempunyai sistem pengepam dalaman hanya dipulihkan bermula jam 4 pagi, 5 Disember apabila bekalan air dalam sistem agihan stabil," katanya.

3 Disember lalu, sebanyak 35 kawasan di bahagian pulau mengalami gangguan bekalan air susulan masalah teknikal dalam pengendalian injap di LRA Sungai Dua.

Antara lokasi yang terjejas adalah di Gelugor, Jalan Sultan Azlan Shah, Batu Uban, Jalan Sungai Dua, Jalan Kampung Jawa, Kawasan Perindustrian FTZ/ FIZ, Jalan Tengah, Taman Pekaka, Jalan Aziz Ibrahim, Bukit Jambul dan Bayan Baru.

Turut berdepan masalah sama termasuk di Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu, Pulau Jerejak, Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, Bayan Lepas, Persiaran Mayang Pasir, Taman Bukit Dumbar, Batu Maung, Teluk Kumbar, Bukit Gedung, Balik Pulau dan Jalan Tun Dr Awang.

Kejadian itu menyebabkan pengguna terutama isi rumah dan peniaga di Georgetown mengeluh dengan situasi berlaku dipercayai berikutan notis lewat yang dimuat naik menerusi Facebook PBAPP Penang.