Tindakan tepat wakil rakyat Umno keluar parti

Mohd Shafie Apdal
Mohd Shafie Apdal
A
A
A

KOTA KINABALU - Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menyifatkan langkah 14 wakil rakyat Umno Sabah yang keluar parti untuk menjadi wakil rakyat bebas dan menyatakan sokongan kepada kerajaan sebagai tindakan yang sangat tepat, demi penyatuan rakyat negeri.

Beliau yang juga Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) berterima kasih kepada kesemua mereka yang kini menyokong kerajaan kerana menyedari hakikat bahawa Umno bukan lagi landasan yang baik untuk berkhidmat dengan rakyat.

“Kita terima baik keputusan mereka untuk meninggalkan Umno.. kerana apa yang penting adalah rakyat perlu bersatu bagi memastikan negeri Sabah dapat dibangunkan. Kerana jika rakyat berpecah kita tidak boleh membangunkan negeri,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima borang keanggotaan Warisan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri Sukau Datuk Saddi Abdul Rahman, yang sebelum ini menjadi Adun Bebas selepas keluar dari Umno pada 1 Ogos lepas.

Ditanya sama ada 14 wakil rakyat yang keluar Umno parti hari ini menyatakan hasrat untuk menyertai Warisan, Mohd Shafie berkata pihaknya belum menerima sebarang makluman atau permohonan mengenainya daripada mereka.

“Kita tunggu sahaja apa yang mereka akan putuskan... saya yakin mereka buat keputusan dengan berfikir panjang mengenai hala tuju politik parti yang akan mereka sertai kelak,” tambahnya.

Empat belas wakil rakyat yang meninggalkan Umno hari ini terdiri daripada lima Anggota Parlimen iaitu Datuk Seri Ronald Kiandee (Beluran), Yamani Hafez Musa (Sipitang), Datuk Azizah Mohd Dun (Beaufort), Datuk Zakaria Edris (Libaran) dan Datuk Rahim Bakri (Kudat).

Sembilan orang lagi ialah Anggota Dewan Undangan Negeri iaitu Datuk Seri Hajiji Mohd Noor (Sulaman), Datuk Seri Masidi Manjun (Karanaan), Datuk Japlin Akim (Usukan), Datuk Musbah Jameh (Tempasuk), Datuk Gulam Haidar Khan (Kawang), Datuk Mohd Arifin Arif (Membakut), Datuk Isnin Aliasnih (Klias), Matbali Musah (Lumadan) dan Datuk Nizam Titingan (Apas). - Bernama

Artikel Berkaitan: