Ahli perniagaan bebas tuduhan terima wang deposit tanpa lesen sah

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Sesyen di sini hari ini membebaskan seorang ahli perniagaan daripada pertuduhan menerima wang deposit hampir RM1 juta tanpa lesen sah daripada seorang pakar perunding kardiologi.

Hakim Datin Sabariah Othman membuat keputusan itu selepas mendapati pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap T. Harikumar, 44.

Dalam penghakimannya, Sabariah berkata, mahkamah berpuas hati bahawa wujud keterangan berdokumen yang jelas menyokong pembelaan iaitu wang tersebut adalah bertujuan untuk mengembangkan perniagaan Harikumar.

"Pihak pendakwaan gagal membuktikan elemen pertuduhan di bawah Seksyen 137(1) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 terhadap tertuduh. Oleh itu, tertuduh dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan tanpa dipanggil membela diri,” katanya.

Kes itu dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Lim Chooi Yi manakala Harikumar diwakili peguam Datuk K. Kumaraendran, Datuk C. Vignesh Kumar, Daniel Annamalai dan Yaw Xinying.

Seramai lima saksi pendakwaan memberi keterangan pada perbicaraan yang berlangsung selama empat hari bermula 18 Ogos lepas.

Harikumar, yang juga pemberi pinjam wang, didakwa menerima wang deposit berjumlah RM999,500 daripada Dr Peter Jebaseelan Jesudason tanpa memiliki lesen sah yang diberikan di bawah Seksyen 10 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Jalan Abdullah, Bangsar di sini antara 1 Ogos 2018 dan 26 Feb 2019 mengikut Seksyen 137(1) Akta Perkhidmatan Kewangan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 137(2) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun atau denda RM50 juta atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. - Bernama

Artikel Berkaitan: