PH menang PRK namun kadar peratusan keluar mengundi rendah

Mohd Khairuddin
Mohd Khairuddin
A
A
A

KUALA NERUS - Walaupun Pakatan Harapan (PH) menang dalam empat Pilihan Raya Kecil (PRK) tahun lalu, iaitu kerusi DUN Seri Setia, Belakong, Sungai Kandis dan Parlimen Port Dickson, namun kadar peratusan keluar mengundi adalah begitu rendah.

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, mengikut data, peratusan keluar mengundi di Seri Setia hanya 44.1 peratus, Belakong 43 peratus dan Sungai Kandis 49.4 peratus. Sementara itu, di Parlimen Port Dickson hanya 58.3 peratus.

Khairuddin menyifatkan antara faktor mempengaruhi trend penurunan peratusan keluar mengundi ialah hasil pemuafakatan Pas dan UMNO yang baru mulai membenih.

"Empat bulan pertama 2019 menyaksikan PH sudah kehilangan sokongan rakyat. Rahsia muafakat Pas dan UMNO serta prestasi PH sebagai kerajaan yang gagal berjaya memberi kemenangan kepada pembangkang.

"Kemenangan dalam tiga PRK iaitu pada 26 Januari 2019 di PRK Cameron Highlands, 2 Mac 2018 di PRK Semenyih dan 13 April 2019 di PRK Rantau," katanya yang juga merupakan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat.

Beliau berkata, jumlah pengundi Rantau seramai 20,926 dengan komposisi kaum ialah Melayu 55 peratus iaitu 11,615 pengundi dan India 26 peratus (5,441) dan Cina 18 peratus (3,863).

Menurutnya, hasil muafakat antara Pas dan UMNO berjaya mendapat majoriti kemenangan yang selesa iaitu 4,510 undi apabila BN mendapat 10,397 undi berbanding PH sebanyak 5,887 undi.

"PH hanya memenangi satu Pusat Daerah Mengundi (PDM) daripada 13 PDM iaitu Bandar Ekar, yang memiliki peratusan pengundi Cina paling tinggi (42.1 peratus) dan pengundi India ketiga tertinggi di Rantau.

Artikel Berkaitan:

"Itu pun PH hanya mendapat kelebihan majoriti sebanyak 338 undi berbanding lebih 1,000 undi pada PRU14 yang lalu. Malah, sokongan pengundi Cina juga dikatakan sudah semakin merosot," katanya.

Terdahulu, Datuk Seri Mohamad Hasan berjaya mempertahankan kerusi DUN Rantau pada PRK berkenaan.

Timbalan Presiden UMNO yang memenangi kerusi DUN Rantau sejak 2004, memperoleh 10,397 undi daripada 56 saluran, mengatasi tiga pencabarnya dengan majoriti 4,510 undi.

Pesaing terdekat bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Dr S Streram daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang mewakili PH, mendapat 5,887 undi.

Sehubungan itu, beliau melihat pemuafakatan di antara Pas dan Umno mesti terus diperkasakan.

"PH sudah tentu menyedari kekuatan ini dan akan berusaha sedaya upaya menghancurkan dengan pelbagai hasutan," katanya.