PM perlu utamakan tangani kenaikan harga telur, simen

Wan Saiful
Wan Saiful
A
A
A

SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim seharusnya memberi keutamaan menangani isu kenaikan harga telur dan simen di pasaran.

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan menegaskan, rakyat pada ketika ini resah, kecewa dan marah dengan masalah kekurangan bekalan serta lonjakan harga dua barangan itu.

Beliau berkata, dua isu tersebut bukan perkara baharu, malah mana-mana pihak yang menjadi kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) perlu selesaikannya terlebih dahulu.

“Rakyat berdepan dengan isu kekurangan bekalan telur dan harganya melambung. Harga makanan menggunakan telur pun ikut naik. Contohnya laporan berita mengatakan harga roti canai telur naik dari RM2.50 ke RM3.20, naik 70 sen.

“Simen pula melonjak 30 peratus iaitu daripada RM17 bagi setiap beg 50 kilogram (kg) sekarang naik sehingga RM22.50. Jika simen naik harga, semua bahan binaan melibatkan simen akan turut naik. Padahal, simen adalah Barangan Kawalan Berjadual yang tak sepatutnya naik,” katanya dalam hantaran di laman Facebook pada Jumaat.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan, Anwar menegur tokoh korporat, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary kerana memonopoli import beras di negara ini.

Susulan itu, Syed Mokhtar bersetuju untuk memperuntukkan RM10 juta tahun ini dan RM50 juta pada 2023 kepada golongan pesawah miskin.

Dalam pada itu Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu turut mendakwa, kenaikan harga telur dan simen disebabkan monopoli dan permainan licik tauke kaya yang menguasai industri makanan dan pembinaan.

Artikel Berkaitan:

Justeru katanya, rakyat dan kontraktor kecil telah menjadi mangsa akibat kenaikan tersebut.

“Telur dan simen sepatutnya menjadi keutamaan Anwar tetapi Anwar utamakan beras. Ya, harga beras penting, tetapi kenapa masih tak ada idea bagaimana nak selesaikan masalah harga telur dan simen yang lebih mendesak sekarang.

“Inilah bahana jika terlalu banyak wayang populis tapi sebenarnya tong kosong sahaja. Berlakulah salah keutamaan. Tak ada keinginan nak tegur tauke-tauke kaya tertentu dalam industri berkaitan telur dan simen,” ujarnya.

Sementara itu Wan Saiful turut bersetuju agar monopoli dihapuskan, namun kerajaan tidak sepatutnya mengamalkan sikap pilih bulu dalam menegur pemain industri.

“Wahai Pak Syeikh, itu belum lagi saya tanya mengenai harga minyak. Berapa kali esok yang Pak Syeikh perlukan untuk turun harga minyak,” soalnya.