412 bookie Piala Dunia ditahan, lebih RM11 juta dirampas

Polis menahan 412 individu disyaki terlibat kegiatan judi bola sepak Piala Dunia Qatar sejak 19 November sehingga Khamis.
Polis menahan 412 individu disyaki terlibat kegiatan judi bola sepak Piala Dunia Qatar sejak 19 November sehingga Khamis.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 412 individu disyaki terlibat kegiatan judi bola sepak sepanjang kejohanan Piala Dunia Qatar ditahan menerusi 348 serbuan Op Soga IX di seluruh negara sejak 19 November sehingga Khamis.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Noorsiah Mohd Saadudin berkata, nilai had kredit dalam perisian serta wang taruhan tunai berjumlah lebih RM11 juta berjaya dirampas sepanjang tempoh berkenaan.

"Sepanjang tempoh 19 November hingga 8 Disember, PDRM telah meningkatkan kadar serbuan dan tangkapan dengan 348 kertas siasatan telah dibuka.

"Kesemua tangkapan merupakan bookie atau 'punter' dan telah direman untuk siasatan lanjut," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, tangkapan terbanyak melibatkan serbuan di negeri Selangor seramai 135 suspek, diikuti Johor (51), Kuala Lumpur (43) dan Sarawak (34).

Menurutnya, daripada jumlah tangkapan tersebut, sebanyak 52 kes telah dituduh dan tujuh daripadanya telah dijatuhkan hukuman oleh mahkamah manakala 289 kertas siasatan masih dalam tindakan.

Noorsiah berkata, pihaknya turut merampas pelbagai peralatan termasuk kredit di dalam perisian bernilai RM10.60 juta, wang tunai RM417,613; dolar Hong Kong 382,295 dan dolar Singapura 500.

"Polis turut merampas 20 unit komputer, komputer riba (11), tablet (dua), telefon bimbit (496), router (11), kad sim (207) dan 103 helai catitan disyaki pertaruhan.

Artikel Berkaitan:

"Siasatan dijalankan di bawah Akta Pertaruhan 1953 dan Akta Rumah Judi Terbuka 1953," ujar beliau.