Tabung amanah dapat kurangkan birokrasi: Abang Johari

Abang Johari Tun Openg - Bernama Photo
Abang Johari Tun Openg - Bernama Photo
A
A
A

KUCHING - Cadangan penubuhan satu tabung amanah untuk mengawal selia dana bagi projek kerajaan Persekutuan yang diluluskan kepada Sarawak dilihat mampu mengurangkan birokrasi.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, tabung itu adalah antara mekanisme yang dicadangkan beliau kepada kerajaan Persekutuan bagi melancarkan proses pembangunan negeri itu.

"Saya yakin tabung amanah ini akan mengurangkan birokrasi dan cadangan ini juga merupakan satu bentuk pemerkasaan buat Sarawak,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Seminar Falak Peringkat Sarawak di sini pada Jumaat.

Pada 4 Disember lepas, Abang Johari berkata, penubuhan tabung amanah itu telah dibincangkan bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga memegang portfolio Menteri Kewangan dalam satu perjumpaan baru-baru ini.

Sementara itu, ditanya mengenai pertemuannya dengan Menteri-Menteri Persekutuan dari Sarawak semalam, Abang Johari berkata pertemuan itu berjalan baik dan tertumpu kepada isu-isu berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Katanya, beliau yakin Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof mampu menyelesaikan beberapa perkara dalam MA63 bagi tempoh satu bulan.

"Ada beberapa masalah yang boleh diselesaikan dalam masa satu bulan tetapi ada juga isu yang mempunyai hubung kait dengan perundangan yang tidak dapat diselesaikan dalam masa satu bulan. Fadillah juga telah ambil maklum mengenai masalah ini,” katanya.

Semalam, Menteri-Menteri Persekutuan dari Sarawak telah berjumpa dengan Abang Johari bagi mendapatkan pandangan mengenai perkara yang harus ditumpukan mereka untuk negeri itu.

Selain Fadillah, empat lagi menteri dari Sarawak ialah Datuk Seri Alexander Nanta Linggi yang dilantik Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Tiong King Sing (Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya), Datuk Seri Nancy Shukri (Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat) dan Datuk Aaron Ago Dagang (Menteri Perpaduan Negara). - Bernama.

Artikel Berkaitan: