Siti Bainun cuti sakit: Tarikh baharu kes Bella Januari depan

Siti Bainun
Siti Bainun
A
A
A

KUALA LUMPUR - Selepas Siti Bainun Ahd Razali diberi sijil cuti sakit (MC) selama 22 hari, Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat menetapkan tarikh baharu bagi perbicaraan bela diri kes mengabai dan menganiaya kanak-kanak perempuan sindrom Down dikenali Bella, bermula 5 Januari tahun depan.

Prosiding itu berlangsung selama 25 hari, bermula Januari hingga Mac, selepas dipersetujui oleh pihak pembelaan dan pendakwaan.

Semasa prosiding, Hakim Izralizam Sanusi berkata, mahkamah mengambil maklum dengan pelbagai permohonan yang dibuat oleh pihak pembelaan namun beliau memohon agar semua pihak mematuhi tarikh prosiding yang ditetapkan.

“Saya boleh melayan semua permohonan itu, tetapi ia hendaklah sesuai dengan tarikh yang diberi,” katanya.

Dua hari lalu, Sinar Harian melaporkan, Siti Bainun perlu mengambil antibiotik selama 15 hari sebelum menjalani pembedahan hempedu, selepas dilaporkan dijangkiti bakteria.

Dia yang diwakili peguam Nur'Aminahtul Mardiah Md Nor memberitahu mahkamah bahawa, jangkitan itu dikesan selepas prosedur perubatan diagnostik dan ujian darah dilakukan di sebuah hospital pada Selasa.

Pada 24 November lalu, Siti Bainun diperintah untuk membela diri atas dua pertuduhan tersebut.

Pada 20 Ogos 2021, Siti Bainun didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, sebagai orang yang dipertanggungjawab untuk menjaga kanak-kanak perempuan sindrom Down berusia 13 tahun telah mengabaikan iaitu dengan menyebabkan kanak-kanak itu mengalami kecederaan fizikal dan emosi.

Artikel Berkaitan:

Pada 20 November 2021, Pengasas Rumah Bonda itu didakwa sekali lagi di mahkamah sama atas pertuduhan menganiaya remaja sama.