Perjawatan Imigresen akan distruktur semula: Saifuddin

Saifuddin Nasution dalam sidang akhbar menerusi lawatan kerja di Ibu Pejabat Jabatan Imigresen Malaysia, Putrajaya di sini pada Jumaat.
Saifuddin Nasution dalam sidang akhbar menerusi lawatan kerja di Ibu Pejabat Jabatan Imigresen Malaysia, Putrajaya di sini pada Jumaat.
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan menstrukturkan semula perjawatan dalam Jabatan Imigresen Malaysia dalam tempoh jangka masa terdekat ini.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, langkah ini diambil bagi memastikan peluang kenaikan pangkat yang lebih luas dan laluan kerjaya yang lebih menjamin masa hadapan dalam agensi ini.

"Imigresen Malaysia mempunyai kekuatan 14,142 orang daripada jumlah perjawatan sebanyak 15,560, daripada jumlah ini, 97 peratus adalah daripada kategori kumpulan sokongan.

"Keadaan ini menyebabkan peluang kenaikan pangkat dan laluan kerjaya mereka terbatas walaupun terdapat dalam kalangan mereka yang mempunyai kelayakan akademik yang tinggi," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar menerusi lawatan kerja di Ibu Pejabat Jabatan Imigresen Malaysia, Putrajaya di sini pada Jumaat.

Katanya, langkah ini dapat memperkasakan keupayaan sumber manusia Imigresen Malaysia melalui pewujudan 285 perjawatan baharu.

"Penstrukturan ini sekali gus dilihat tidak memberikan implikasi kewangan kepada kerajaan.

"Saya menyokong penuh usaha-usaha penstrukturan semula jabatan yang sedang dilaksanakan sekarang iaitu jawatan-jawatan utama di peringkat pengarah dan timbalan pengarah akan difleksibelkan antara skim PTD dan skim KP," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, mengulas mengenai kesesakan di pejabat pengeluaran pasport Imigresen Malaysia, beliau berkata pihaknya sedang mengkaji kesesuaian kaedah baharu pengeluaran Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) bagi pemohon yang mempunyai keperluan segera.

"Menerusi kaedah ini, pemohon yang mempunyai bukti untuk melakukan perjalanan ke luar negara dalam masa satu bulan, permohonan akan diproses dalam masa tiga hari atau kurang seperti proses sedia ada.

"Bagi pemohon yang tiada keperluan untuk melakukan perjalanan ke luar negara dalam tempoh satu bulan, permohonan mereka akan diproses dalam masa 30 hari bekerja," katanya.

Jelas beliau, kaedah pengeluaran pasport seperti ini diamalkan di negara-negara maju seperti Kanada, Amerika Syarikat dan Australia.