Cubaan pindah minyak secara haram gagal

NURUL HIDAYAH HAMID

Feri penumpang dan kapal tangki ditahan kerana disyaki memindahkan minyak secara haram di kedudukan 0.9 batu nautika, utara Pulau Dayang Bunting, Langkawi pada Khamis.
Feri penumpang dan kapal tangki ditahan kerana disyaki memindahkan minyak secara haram di kedudukan 0.9 batu nautika, utara Pulau Dayang Bunting, Langkawi pada Khamis.
A
A
A

LANGKAWI - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Kedah dan Perlis menggagalkan cubaan dua vesel yang disyaki memindahkan minyak secara haram di kedudukan 0.9 batu nautika, utara Pulau Dayang Bunting, Langkawi pada Khamis.

Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata, penahanan dibuat lebih kurang 7.35 petang melalui rondaan rutin oleh bot maritim dalam Operasi Aman di perairan Langkawi.

Romli memberitahu, kapal tangki dan feri tersebut ditahan selepas didapati berada dalam keadaan yang mencurigakan apabila rapat antara satu sama lain.

"Ketika pemeriksaan dan geledah, nakhoda kapal telah gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran melakukan aktiviti pemindahan minyak atau ship to ship (STS) transfer.

"Melalui pemeriksaan lanjut, kapal tangki terbabit didapati membawa nakhoda, lima kru warga Indonesia serta dua kru warga tempatan," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau memaklumkan, feri penumpang pula membawa nakhoda bersama tujuh kru warga tempatan berusia lingkungan 19 hingga 63 tahun yang ditahan dan dibawa ke Jeti Maritim, Bukit Malut untuk siasatan lanjut.

Tambah beliau, kes akan disiasat di bawah Seksyen 491B(1)(I) dan Seksyen 491B(1)(K) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana disyaki menjalankan aktiviti ‘ship to ship’ (STS) tanpa kebenaran pihak berkuasa.

"Sekiranya didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan, Maritim Malaysia akan terus meningkatkan kawalan keselamatan dan penguatkuasaan bagi memastikan keselamatan kapal-kapal dalam perairan negara sentiasa terjamin.

Romli menasihatkan pengusaha feri dan ejen perkapalan khususnya di Langkawi, supaya mematuhi undang-undang demi kesejahteraan serantau.

"Maritim Malaysia juga amat menghargai kerjasama daripada Komuniti Nelayan Setempat dan berharap kerjasama akan diteruskan dari semasa ke semasa,"katanya.

Sebarang aduan jenayah maritim salurkan kepada Pusat Operasi Maritim Negeri Kedah dan Perlis melalui talian 04-9662750 atau MERS 999.