Wanita UMNO minta akar umbi terus sokong Ahmad Zahid

Ahmad Zahid
Ahmad Zahid
A
A
A

SHAH ALAM - Wanita UMNO minta semua ahli akar umbi sayap parti itu terus bersama menyokong kepimpinan institusi presiden parti bagi membawa arah tuju bersama Kerajaan Perpaduan.

Setiausaha Wanita UMNO, Datuk Rosni Sohar berkata, tertubuhnya Kerajaan Perpaduan, parti itu sentiasa akan menjaga hak-hak orang Melayu, agama Islam dan Raja-raja Melayu dapat terpelihara.

"Saya berharap akar umbi Wanita UMNO akan bersama Wanita UMNO pusat bagi menentukan parti ini terus terpelihara dan membina nasib bangsa Melayu.

"Semua Ketua-Ketua Wanita UMNO seluruh bahagian menunjukkan solidariti kepada kepimpinan dan menyerahkan mandat kepada kepimpinan Presiden, Timbalan Presiden dan Naib-Naib Presiden serta Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO bagi membawa arah tuju parti ini bersama Kerajaan Perpaduan,” katanya seperti dipetik dalam UMNO Online.

Beliau yang juga MKT UMNO berkata, Wanita UMNO adalah entiti pertama menunjukkan solidariti terhadap kepimpinan institusi presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Tambah Rosni, Wanita UMNO setia memberikan sokongan yang padu kepada kepimpinan presiden dan mengikut arahan Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-raja Melayu.

Pada Khamis, tiga pemimpin UMNO dipecat keahlian kerana mencemuh parti dan berkempen untuk pihak lain ketika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Perkara itu dimaklumkan MKT UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi ketika ditemui media di Menara Dato' Onn selepas mesyuarat tersebut selesai.

Artikel Berkaitan:

Mohd Puad bagaimanapun tidak memberitahu nama yang terlibat, namun menjelaskan pemecatan tersebut melibatkan seorang ketua bahagian dan dua ketua wanita bahagian.